Palestin kecewa Barat lebih utamakan Ukraine

RAMALLAH: Pemimpin Palestin, Mahmoud Abbas, menyelar pendirian Barat yang lantang menghukum Russia kerana menyerang Ukraine sedangkan kekejaman Israel di Palestin sekian lama dipandang sepi.

Mahmud menyuarakan kekecewaannya kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, yang mengunjunginya di Tebing Barat semalam.

Beliau berkata demikian dalam taklimat media dengan wartawan di kediaman Presiden Palestin di Ramallah, yang turut berada dalam kawasan diceroboh Israel.



“Barat, terutama Eropah, bersikap pilih kasih dan berat sebelah dalam isu ini, malah dunia begitu lantang mengkritik Russia yang menyerang Ukraine 24 Februari lalu, sedangkan isu masyarakat Palestin selama puluhan tahun masih diabaikan.

“Walaupun terdapat jenayah penjajahan Israel yang membawa maksud pembersihan etnik dan penindasan kaum, tiada siapa pun yang berani tampil menuduh Israel bertanggungjawab dan bertindak berlandaskan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Blinken memberitahu Mahmoud bahawa beliau mahu menghidupkan kembali hubungan AS dengan Palestin, yang terjejas di bawah pentadbiran bekas Presiden AS, Donald Trump.

Namun, cabaran dari China dan kini pencerobohan Russia di Ukraine menyebabkan Washington hanya menghabiskan masa yang sedikit untuk isu-isu di Asia Barat.



Sebelum ini pihak berkuasa Palestin yang diketuai oleh Mahmoud menimbulkan kemarahan diplomat Barat kerana tidak mengecam serangan Russia ke atas Ukraine. – AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button