Makin menyinar selepas Big Stage, Aisha Retno tampil dengan single Pencarianku
Antara bakat baharu yang pantas meraih perhatian selepas memenangi tempat ketiga Big Stage 2022, Aisha Retno kini tampil dengan single berjudul Pencarianku.
Bertemakan cinta agung, Pencarianku merupakan luahan cinta untuk orang tersayang. Lahir dari keluarga yang cukup dilimpahi berkat dan kasih sayang, Aisha menyifatkan dirinya cukup bertuah.
Mana tidaknya, dia sendiri melihat betapa agungnya cinta antara ibu dan bapanya meski sudah berpuluh tahun hidup bersama. Tiada sehari pun dalam kehidupan mereka tidak ditumpahi kasih sayang dan belaian.
“Sebagai seorang anak, saya melihat cinta dan kasih sayang yang dipaparkan ibu bapa terlalu agung. Saya cukup kagum dan menjadikan corak percintaan mereka pedoman untuk mencari cinta buat diri-sendiri pada masa hadapan.
“Saya tahu masih terlalu awal dan saya pun muda lagi untuk mengharapkan dapat bertemu cinta agung seperti mereka. Tetapi, saya percaya hal itu tidak mustahil dan mampu melihat curahan kasih sayang begitu ditumpahkan kepada saya sebagaimana dilakukan mereka.
“Dari kisah mereka jugalah yang menjadi ilham utama untuk menghasilkan Pencarianku. Secara keseluruhan, lagu ini berkisar mengenai diri saya masih dalam misi mencari cinta yang paling sejati menyamai kisah ibu bapa saya,” katanya.
Bekerjasama dengan komposer Sharon Paul, Aisha cukup gembira dapat tunjuk ajar daripada figura yang cukup profilik dalam industri muzik tempatan itu. Baginya, tiada lain yang disyukurinya selain berkongsi ilmu dengan Sharon.
Apalagi, dia sendiri cukup berjinak dengan penulisan lagu sejak beberapa tahun ini, Aisha pastinya masih perlukan pendapat daripada yang lebih berpengalaman. Menurutnya, bekerja dengan Sharon cukup memberinya kepuasan tersendiri.
“Sewaktu saya hantar rakaman asal lagu ini kepadanya, saya memberikan kepercayaan penuh untuk Sharon ubah mana yang patut. Saya percaya dengan sentuhan magisnya untuk semarakkan lagu aura lagu itu.
“Bagaimanapun, tidak banyak yang beliau ubah sebenarnya. Dia cukup profesional dan menghormati kehendak asal lagu itu menyebabkan saya tersentuh kerana dia terbuka dengan corak karya saya.
“Apapun, bekerja dengannya secara keseluruhan membuatkan semangat saya jadi lebih berkobar. Sikap cukup profesionalnya terserlah dan menjadikan proses itu jadi lebih santai namun teliti pada masa sama,” katanya.
Masih mengekalkan genre balada untuk lagu baharunya, Aisha berkata saat ini dia memang mahu dikenali kukuh sebagai penyanyi balada. Baginya, genre itu memberikan titik kepuasan untuknya mencipta nama dalam bidang muzik.
“Sebenarnya saya sendiri memang takkan pernah puas untuk mengetengahkan lagu balada.
“Itulah perancangan saya untuk hala tuju muzik paling tepat dengan diri. Saya mahu hasilkan karya yang mampu menjadi karya epik.
“Untuk Pencarianku ini juga adalah bukti bahawa saya membawa lagu balada ke tahap lebih megah. Saya sentiasa berharap akan ada lagu saya terutama balada yang boleh dibawa atau dipertandingkan ke pentas anugerah muzik besar,” katanya.
‘Pencarianku’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Spotify, Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Youtube & Youtube Music. – my-tv online