Russia janji kurangkan aktiviti tentera

 

Russia semalam berjanji untuk mengurangkan operasi tentera di sekitar ibu negara Ukraine dan kawasan di utara, manakala Kyiv mencadangkan penerapan status neutral.

Langkah itu disifatkan sebagai usaha awal ke arah meraih keyakinan, sekali gus menjadi petanda pencapaian positif bagi rundingan damai.

Dialog rundingan sedemikian berlaku di istana Istanbul, selepas lebih sebulan serangan terbesar tercetus di negara Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

“Bagi meningkatkan keyakinan bersama dan memberi laluan kepada rundingan selanjutnya serta mencapai kesepakatan bagi menandatangani (sebuah) perjanjian, satu keputusan dibuat bagi mengurangkan aktiviti ketenteraan di sekitar Kyiv dan Chernihiv,” kata Timbalan Menteri Pertahanan Russia, Alexander Fomin, kepada pemberita.

Fomin bagaimanapun tidak menyebut kawasan lain yang dilanda pertempuran sengit, termasuk sekitar Mariupol, Sumy, Kharkiv, Kherson dan Mykolaiv.

Segelintir penganalisis berkata, janji Russia untuk mengurangkan aktiviti ketenteraan itu kebanyakan bagi kawasan di mana negara terbabit berdepan kekalahan.

Seorang pegawai Amerika Syarikat (AS), yang enggan namanya disiarkan turut menyuarakan pandangan skeptikal dengan berkata Russia berkemungkinan akan meningkatkan serangan di tempat lain di Ukraine.

“Kami percaya bahawa sebarang pergerakan oleh tentera Russia di sekitar Kyiv ialah suatu bentuk penempatan semula, bukan pengunduran… Mereka sedang mengemudi pasukan dan mungkin disebabkan gagal dalam serangan awal,” katanya.

Menerusi cadangan itu, perunding Ukraine berkata, Kyiv akan bersetuju untuk menyertai gabungan atau menyediakan lokasi asas pasukan tentera asing, tetapi mempunyai jaminan keselamatan, sama seperti diperuntukkan dengan ‘Perkara 5’, klausa pertahanan bersama tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Berdasarkan kenyataan pejabat Perdana Menteri British, Boris Johnson, Presiden AS, Joe Biden, mengadakan perbualan telefon bersama pemimpin dari Perancis, Jerman dan Itali.

“Mereka bersetuju bahawa usaha penyelesaian tidak akan terhenti sehingga krisis di Ukraine berakhir,” menurut kenyataan itu.

– AGENSI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button