Russia beri amaran perang dunia ketiga boleh meletus

KYIV: Russia memberi amaran bahawa konflik di Ukraine berupaya menjadi semakin meruncing sehingga meletuskan perang dunia ketiga.

Moscow turut mendakwa Kyiv memanipulasi rundingan damai sebelum ini, sehari selepas kunjungan pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) yang berkata pasukan tentera Ukraine mampu memberi tentangan balas terhadap pencerobohan Russia.

Konflik itu mencetuskan sokongan bertali arus dalam kalangan negara Barat, sekali gus menyaksikan kemasukan pelbagai bekalan senjata ke Ukraine demi membantu negara berkenaan berdepan dengan tentera Russia.

Bercakap kepada agensi berita Russia, Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, menyuarakan kritikan terhadap pendekatan Kyiv yang dilihat cuba menyulitkan proses rundingan damai, selain memberi gambaran bahawa tindakan sedemikian mengundang risiko meletusnya perang dunia ketiga.

“Ia memang benar, anda tidak boleh perlekehkannya,” katanya.

Meskipun rundingan bersama Kyiv masih diteruskan, Lavrov mendakwa Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, sebenarnya sekadar berlakon untuk mengadakan proses rundingan, selain berkata: “Anda akan menemui seribu bentuk percanggahan”.

Sejak kebelakangan ini, Zelensky meminta bantuan bekalan senjata berat, termasuk pesawat tempur daripada sekutu negara barat Ukraine, dengan menyuarakan janji bahawa pasukan tentera Kyiv mampu memberi tentangan balas dengan kekuatan persenjataan yang mencukupi.

Gesaan itu dilihat disahut pelbagai pihak, dengan negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berjanji untuk menyalurkan bekalan pelbagai jenis senjata berat dan peralatan, meskipun berdepan tentangan dari Moscow.

“Langkah pertama untuk meraih kemenangan ialah dengan percaya bahawa kita mampu menang.

“Kita percaya kita mampu memang – mereka boleh menang – jika mereka mempunyai peralatan dan sokongan sewajarnya,” kata ketua Pentagon, Lloyd Austin, kepada pemberita selepas beliau dan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, mengadakan pertemuan dengan Zelensky di Kyiv.

Kunjungan dua diplomat penting mewakili barisan Kabinet Presiden AS, Joe Biden itu diadakan di sebalik peperangan yang masih meletus di seluruh Ukraine.

“Syukur atas berkat kesungguhan, kebijaksanaan pasukan pertahanan dan keberanian semua rakyat Ukraine – negara kita adalah simbol sebenar pergelutuan mengecapi kebebasan,” kata Zelensky menerusi ucapan yang menjanjikan kemenangan buat Kyiv.

Susulan pertempuran yang masih meruncing, sekurang-kurangnya lima individu terbunuh manakala 18 lagi tercedera selepas roket dilancarkan Russia membedil kemudahan kereta api di tengah Ukraine, dekat wilayah Vinnytsia.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker