Bapa beri 2 minggu untuk polis kemuka siasatan

 

Sudah 37 hari Nour Rania Asyifaa Yuseri, meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di pusat jagaan di bandar Seri Sendayan, di sini, namun perkembangan siasatan masih belum menunjukkan perkembangan positif.

Sehingga kini, tiada sebarang pendakwaan dibuat susulan kematian bayi perempuan berusia 15 bulan yang lebih dikenali sebagai Baby Syifaa itu, malah seksyen atau akta siasatan kes juga tidak diketahui.

Justeru, bapa bayi malang itu, Yuseri Yusoff, 39, yang mahukan keadilan kepada arwah anaknya memberi tempoh dua minggu kepada pihak polis untuk mengemukakan hasil siasatan selanjutnya.

“Polis berjanji satu siasatan adil akan dilakukan di mana individu bertanggungjawab akan dibawa kepada pihak pendakwaan.



“Kami hanya ingin jernihkan keadaan dan lebih kepada mahu menuntut pembelaan. Saya berbincang dengan peguam pemerhati dan kami bagi masa dua minggu kepada polis (untuk kemukakan siasatan),” katanya ketika ditemui di perkarangan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban, di sini, petang tadi.

Beliau sebelum itu hadir ke IPD Seremban bersama dua peguam pemerhati iaitu Muhammad Amin Anuar dan Musfira Mohd Fahmi, bagi memberi keterangan berhubung laporan polis dibuatnya pada 28 Mac lalu di IPD Sentul di Kuala Lumpur.

Yuseri berkata, beliau dimaklumkan kertas siasatan kes sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, namun belum pasti seksyen atau akta pertuduhan dibuat.

Sementara itu, Muhammad Amin berkata, kebiasaannya dalam mana-mana kes, sebaik saja laporan polis dibuat, akan ada yang individu ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun katanya, berbeza dengan kes Baby Syifaa kerana sehingga kini tiada sebarang pendakwaan dibuat dan ia menimbulkan keraguan keluarga.

“Kami bersetuju untuk beri ruang kepada polis menjalankan siasatan dan jika tiada sebarang perkembangan selepas tempoh dua minggu, kita akan ambil tindakan selanjutnya berlandaskan undang-undang.

“Kita menghormati polis dan sistem keadilan. Cumanya tertanya-tanya apabila kes ini yang mempunyai bukti yang sangat pelik dan pandangan daripada nasihat pakar forensik berhubung kematiannya, kenapa tiada nampak perkembangan selanjutnya, seolah-olah ada kelompongan,” katanya.

Katanya, satu kenyataan saja diambil daripada pengasuh tidak mencukupi untuk menyebabkan tidak ada sesiapa yang ditahan reman sehingga kini.

Sehubungan itu beliau berkata, jika tiada perkembangan lanjut, pihaknya akan mengemukakan cadangan supaya inkues diadakan termasuk melakukan autopsi semula kepada mayat anak guamnya.

“Saya berharap anak guam saya dapat keadilan dan sekurang-kurangnya ada pendakwaan dibuat,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button