Russia bedil pinggir bandar Kyiv

 

Tentera Russia yang membedil dan menawan kota pinggir bandar berhampiran Kyiv berjanji akan mengurangkan serangan di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun negara Barat menganggap ia adalah helah Moscow untuk menutup kekalahan besarnya dan berkumpul semula bagi melakukan serangan lain.

Tindakan itu dilakukan selepas lima minggu melakukan pencerobohan, yang mana Russia dilihat gagal menawan bandar besar di negara itu.

Pegawai Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), berkata Moscow membedil 50 hospital termasuk sekolah dan kawasan perumahan di sekitar Ukraine.

Pegawai Ukraine menafikan kenyataan Russia untuk menyekat operasi berhampiran Kyiv dan bandar Chernihiv yang terletak di Utara.

“Itu adalah tidak benar. Sepanjang malam kami mendengar bunyi siren, serangan roket dan letupan besar berhampiran timur dan utara Kyiv.

“Berlaku pertempuran yang sengit di sana. Ada yang sudah meninggal dunia dan masih ada yang terbunuh,” menurut Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko.

Ukraine dan pemimpin negara barat memberi amaran bahawa langkah perdamaian Moscow di Istanbul, Turki adalah helah untuk menyusun semua kekuatan tentera yang gagal menawan Kyiv.

Rabu lalu, Russia berkata pasukan tenteranya berjaya mencapai objektif berhampiran Kyiv dan Chernihiv dan sedang berkumpul semula untuk memberi tumpuan kepada pembebasan wilayah timur Donbas.

Pentagon melaporkan, Russia sudah mula menempatkan semula pasukannya di sekitar Kyiv dan memberi amaran Moscow dijangka memberikan bekalan penempatan semula.

– REUTERS



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button