Hyun Bin, Son Ye Jin berkahwin



 

Selepas dua tahun menyulam cinta, bintang utama siri Korea popular, Crash Landing On You, Hyun Bin, 40, dan Son Ye Jin, 40, sah bergelar pasangan suami dan isteri pada kira-kira jam 3 petang, waktu tempatan.

Majlis perkahwinan pasangan itu berlangsung secara tertutup di Aston Sheraton House, Grand Walkerhill Hotel di Seoul, Korea Selatan dengan dihadiri keluarga dan teman rapat, lapor agensi.

Hyun Bin yang pertama kali bertemu dengan Son Ye Jin menerusi drama The Negotiation pada 2018, dilihat memuat naik dua keping foto dalam dua persalinan yang berbeza menerusi akaun Instagram (IG), petang tadi.

Pada foto itu, Hyun Bin yang mengenakan sut rona putih sedondon dengan isteri mengharapkan perkahwinan mereka menemui kebahagiaan berpanjangan.

Hantaran itu mendapat lebih 170,000 tanda suka serta lebih 4,000 komen.

Sementara itu, dalam kenyataan dikeluarkan agensi pengurusan Hyun Bin, Vast Entertainment dan MSTeam, majlis perkahwinan pasangan itu terpaksa dijalankan secara tutup berikutan situasi COVID-19, lapor agensi.



“Aktor Son Ye Jin dan Hyun Bin melangsungkan perkahwinan mereka hari ini. Ia langkah pertama mereka sebagai pasangan suami isteri.

MAJLIS TERTUTUP SEBAB COVID

“Majlis dilangsungkan secara tertutup mengambil kira situasi COVID-19. Oleh itu, kami berharap anda semua faham keadaan ini.

“Bagaimanapun, kami akan kongsi berita dan foto perkahwinan mereka,” kata kenyataan itu.

Lima hari lalu, aktor Secret Garden itu ada memuat naik sekeping foto bersama Son Ye Jin di IG.

Dalam hantaran itu, Hyun Bin ingin berkongsi kegembiraan bersama peminat yang tidak jemu menyokong kerjaya seninya.

“Hello, ini Hyun Bin. Adakah anda semua sihat? Saya menulis hantaran ini kerana mahu peminat yang sentiasa sokong, sayang dan terus menghargai saya di sebalik kekurangan diri, menjadi orang pertama yang tahu keputusan terbesar yang saya lakukan dalam hidup.

“Saya tahu mungkin ramai yang sudah dapat meneka. Memang benar, saya sudah pun membuat keputusan yang sangat penting untuk berkahwin. Saya amat berhati-hati di dalam membuat keputusan ini.

“Saya sudah berjanji kepada wanita yang berjaya membuat saya tertawa (Son Ye Jin) untuk mengharungi perjalanan ini bersama-sama.

“Jung Hyuk dan Se Ri yang bersama dalam drama, kini akan melangkah menuju masa depan. Saya percaya semua orang akan meraikan keputusan kami dengan kasih sayang sama yang anda tunjukkan seperti sebelum ini,” tulisnya.

Hubungan Hyun Bin dan Son Ye Jin dikatakan mula terjalin selepas Crash Landing On You tamat siaran pada Mac 2020. Namun, pasangan itu hanya mengesahkan spekulasi percintaan mereka, awal tahun lalu.

Hyun Bin mula bersikap terbuka berhubung percintaan mereka apabila mengungkapkan kata bermakna buat kekasihnya ketika menerima trofi utama pada acara Asia-Pacific Actors’ Network Awards.

Pada acara itu, Hyun Bin berterima kasih kepada Son Ye Jin dan menganggapnya sebagai pasangan terbaik.

– AGENSI





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker