Ringgit dibuka susut berbanding dolar AS

Ringgit diniagakan kebanyakannya bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama - Foto hiasan

Nilai ringgit menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada pembukaan urus niaga pagi ini berikutan kejatuhan harga minyak mentah selepas pentadbiran Presiden AS, Joe Biden memutuskan mengenai pengeluaran rizab minyak mentah untuk meredakan harga minyak yang melambung tinggi, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan didagangkan pada 4.2100/2140 berbanding dolar AS daripada 4.2025/2055 pada penutupan Khamis.

Dilaporkan bahawa kerajaan AS akan mengeluarkan satu juta tong minyak sehari dari Rizab Petroleum Strategik untuk tempoh enam bulan dalam usaha menurunkan harga bahan api dan meredakan kebimbangan berlakunya kekurangan selepas pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

Pada masa yang sama, kerajaan Russia turut menegaskan bahawa bayaran untuk import gas adalah dalam rubel atau ia akan mengurangkan bekalan, kata Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Benama.

Ketika ini, penanda aras minyak mentah Brent susut 4.88 peratus kepada AS$107.91 setong.

Mohd Afzanizam berkata, tempoh suku pertama 2022 sangat tidak menentu dan konflik ketenteraan, yang bermula pada 24 Februari telah menambahkan lagi dimensi kepada ketidaktentuan pasaran

“Ia amat meresahkan pasaran,” kata Mohd Afzanizam sambil menambah indeks dolar AS (DXY) meningkat 0.53 peratus kepada 98.312 mata kerana pelabur mata wang mencari perlindungan daripada ketidaktentuan pasaran.

Dalam pada itu, pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia hari ini bermakna aktiviti ekonomi berkemungkinan lebih rancak pada masa hadapan dan ia akan membantu mempercepatkan permintaan domestik.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding pound Britain kepada 5.5303/5355 daripada 5.5158/5197 pada Khamis dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.4477/4513 daripada 3.4472/4502 sebelumnya.

Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.6592/6636 daripada 4.6698/6732 pada penutup semalam, dan tidak berubah berbanding dolar Singapura pada 3.1033/1065 daripada 3.1033/1060 sebelumnya.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker