Jerman berdepan Sepanyol dalam kumpulan maut

Pasukan yang melengkapkan Kumpulan E  terdiri daripada Sepanyol, Costa Rica/New Zealand, Jerman dan Jepun selepas majlis undian Piala Dunia 2022 di Doha, Qatar. - EPA

DOHA: Jerman dan Sepanyol akan bertemu pada Piala Dunia tahun ini selepas majlis undian awal pagi tadi di Doha yang menemukan dua bekas juara dalam kumpulan yang sama manakala Amerika Syarikat (AS) dan Iran juga diletakkan dalam kumpulan sama.

Juara empat kali, Jerman berada dalam Balang Dua, menjadikan mereka antara pasukan yang perlu dielakkan dalam kumpulan pilihan di ibu kota Qatar itu. Mereka disingkirkan pada Piala Dunia 2018 dekat Russia pada peringkat kumpulan.

Jerman dan juara 2010, Sepanyol disertai Jepun dalam Kumpulan E, yang akan dilengkapkan oleh pemenang playoff pada Jun antara Costa Rica dan New Zealand.

“Ia jelas undian paling sukar daripada balang kedua, terutama selepas mereka kini sudah bertukar jurulatih,” kata bos Sepanyol, Luis Enrique.

“Marilah meraikannya ketika ini dan cuba menjadi optimistik.”

Sepanyol menang 6-0 ketika pasukan itu kali terakhir bertemu pada November 2020, tetapi Jerman sudah banyak meningkat sejak Hansi Flick menggantikan Joachim Loew sebagai jurulatih.

“Kami yakin, kami akan melalui kejohanan yang bagus,” kata penjaga gol Jerman dari Bayern Munich, Manuel Neuer.

Iran dan AS yang tidak ada hubungan diplomatik formal sejak 1980 – kali terakhir bertemu pada Piala Dunia 1998 di Perancis ketika Iran menang 2-1 di Lyon.

“Bola sepak mengubah banyak keadaan politik dan kami berupaya kekal sebagai rakan di padang,” kata jurulatih AS, Gregg Berhalter.

England juga berada dalam Kumpulan B dan akan bertemu Iran dalam perlawanan pembukaan pada hari pertama, 21 November.

Pada Piala Dunia pertama mereka, tuan rumah Qatar akan berdepan Ecuador di Stadium Al Bayt dekat Al Khor.

Qatar juga akan menentang juara Afrika, Senegal dan Belanda yang terlepas saingan 2018 pada aksi Kumpulan A.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker