Perancis merendah diri jumpa Denmark
DOHA: Jurulatih Perancis, Didier Deschamps berkata juara bertahan itu “Sangat menghormati” Denmark selepas pasukan itu diundi dalam kumpulan sama pada Piala Dunia awal pagi tadi.
“Anda perlu sangat menghormati mereka,” kata Deschamps. “Mereka berkedudukan ke-11 FIFA, ke separuh akhir Euro dan jika mereka berada di depan Jerman dan Belanda, ia membuktikan kualiti pasukan ini.”
Perancis dan Denmark akan menjadi lawan biasa apabila mereka juga bertemu pada Liga Negara-Negara pada Jun dan September sebelum Piala Dunia bermula November.
“Saya tidak tahu sama ada ia sesuatu yang sesuai,” kata Deschamps. “Mereka juga akan ada kelebihan kerana banyak mengetahui mengenai kami, jika kedua-dua pasukan ini bertemu, satu pada Jun dan satu pada September dalam Liga Negara-Negara, ia bukan perkara yang sama.”
Kedua-dua pasukan bertemu pada Piala Dunia 2002 ketika Denmark mengejutkan juara bertahan itu 2-0 di Korea Selatan, kekalahan yang menyebabkan Perancis tersingkir pada pusingan pertama.
Mereka juga bertemu pada kejohanan 2018 yang berakhir dengan seri 0-0 di Moscow.
Jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand memberi amaran kepada Perancis supaya bersedia berdepan pasukannya yang akan “sedia bertarung.”
“Kami ada dua perlawanan dalam Liga Negara-Negara berdepan mereka, jadi ia akan menjadi tiga kali dalam lima bulan,” kata Hjulmand.
AFP