Berdiam lebih baik

RAKAMAN yang tular di media sosial, baru-baru ini.

ISU pensyarah sebuah universiti awam yang menggunakan kata-kata kesat kepada pelajar menjadi tular beberapa hari lalu selepas rakaman berkaitan tersebar di media sosial. Tanpa tahu keseluruhan cerita, maka berbondong-bondong umat membuat ulasan. Sama ada di Facebook hingga ke Twitter, pensyarah berkaitan dihukum tanpa bicara.

Sebenarnya, kita sangat mudah menjatuhkan hukuman dan memilih pihak tanpa tahu cerita sebenar. Selepas hangat seketika, muncul pula kisah rupanya rakaman yang disebarkan adalah kisah lama dan pelajar berkaitan sudah pun bergraduan. Ini diikuti dengan rakaman sesi pembelajaran lain membabitkan pensyarah yang sama.

Dalam hal ini sebenarnya kita harus berwaspada. Akan sentiasa ada berita dari sudut pandang lain ketika kita hanya melihat satu sudut sahaja. Namun, kerana kita masing-masing ghairah untuk menjadi orang pertama membuat ulasan, maka masing-masing mengeluarkan fatwa.

Zaman teknologi serba pantas ini membolehkan sesiapa sahaja bersuara, benar atau salah belakang kira. Buat salah dulu, minta maaf kemudian. Hal ini menjelaskan betapa mudahnya fitnah merebak, malah keadaan ini mewujudkan satu istilah yang disebut budaya pengenyahan (cancel culture) yang sangat siginifikan dalam dunia hiburan di beberapa buah negara antaranya Korea Selatan.

Benar setiap orang ada hak memberi pendapat, tetapi lebih baik berdiam diri seketika dan bertenang. Jangan terlalu terkinja-kinja membuat kesimpulan sedangkan kita tidak tahu situasi sebenar. Ia hanya akan menyambung fitnah dan akhirnya menjerumuskan kita pada perangkap dosa tanpa kita sedar. Allah berfirman dalam surah al-Israk ayat 36, “Dan janganlah kamu menurut sesuatu yang tiada dalam pengetahuan (ilmu). Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati semuanya kelak pasti akan diminta tanggung jawabnya.”

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker