Lagi mangsa Macau Scam, guru rugi RM254,600

SIPITANG: Seorang guru kerugian RM254,600 akibat terperdaya dengan penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh, berkata terdahulu mangsa berusia lingkungan 30 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang individu mengaku sebagai pegawai LHDN pada 14 Mac lalu.

Beliau berkata, guru itu terkejut apabila diberitahu kononnya ada tunggakan cukai berjumlah RM38,500.90 oleh sebuah syarikat yang didaftar menggunakan namanya.



“Panggilan kemudian disambungkan pula kononnya kepada seorang sarjan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

“Dalam perbualan itu, mangsa dimaklumkan kononnya terdapat satu akaun bank atas namanya yang berkaitan dana haram sebanyak RM312,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Champin berkata, mangsa kemudian diminta menyerahkan maklumat akaun banknya yang didakwa untuk tujuan penyiasatan.

Malah antara 14 hingga 26 Mac lalu, katanya, mangsa diarah memindahkan wang ke dalam enam akaun bank yang berbeza.



“Mangsa hanya menyedari tertipu pada 30 Mac lalu dan terus tampil ke balai polis untuk membuat laporan.

“Laporan juga dibuat berikutan mangsa takut semua dokumen peribadi dan identitinya akan disalahgunakan,” katanya.

Champin berkata, mangsa mengalami kerugian berjumlah RM254,600, dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau turut memaklumkan, sebelum ini terdapat dua kes seumpama yang berlaku di daerah ini membabitkan warga pendidik dan kesihatan.



“Justeru, saya meminta semua warga daerah ini supaya jangan terperdaya mahupun melayan panggilan telefon daripada mana-mana pihak tidak dikenali yang menyamar sebagai kakitangan LHDN, polis, mahkamah dan lain-lain.

“Orang ramai dimohon menyemak dan berhubung dengan pihak polis untuk kepastian bagi mengelak diperdaya oleh sindiket Macau Scam,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button