Dimanakah Jho Low?

Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low bagi membantu siasatan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB). - Foto fail

KUALA LUMPUR: Polis masih giat mengesan ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho atau Jho Low untuk dibawa pulang bagi menghadapi proses pengadilan di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata nama ahli perniagaan itu juga sudah disenarai sebagai individu dikehendaki kategori notis merah oleh Polis Antarabangsa (INTERPOL).

“Kita masih buru Jho Low dan siasat di negara mana ahli perniagaan itu bersembunyi. Dalam hal ini, kita mendapat kerjasama INTERPOL.

“Bagaimanapun, tiada maklumat atau perkembangan baharu berhubung kes berkenaan boleh dikongsikan setakat ini,” katanya kepada BH, hari ini.

Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low bagi membantu siasatan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Sejak itu, pelbagai usaha dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk membawa ahli perniagaan itu pulang.

Jho Low bukan sahaja dikehendaki oleh pihak berkuasa bagi membantu siasatan dalam kes penyelewengan dana 1MDB, tetapi juga adalah saksi penting perbicaraan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mengenai senarai individu tidak dibenarkan memasuki Malaysia kerana melakukan kesalahan dan terbabit kes berprofil tinggi, Abd Jalil berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada Jabatan Imigresen.

“Maklumat itu mungkin boleh ditanya kepada imigresen, mereka lebih tahu mengenai senarai berkenaan,” katanya.

Media melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengaktifkan semula senarai individu berkenaan, susulan pembukaan semula sempadan negara selepas memasuki fasa peralihan ke endemik bermula Jumaat lalu.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dipetik berkata tindakan itu dilakukan bagi memastikan keselamatan negara berada di tahap terbaik.

Sementara itu, jurucakap imigresen ketika dihubungi memohon diberi masa untuk memeriksa senarai itu sebelum mengulas lanjut.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker