Sabah selaras SOP pembukaan sempadan

Datuk Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (COVID-19) mengambil ketetapan menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kerajaan Persekutuan berhubung pembukaan semula sempadan negara dan fasa peralihan ke endemik.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata Sabah akan melaksanakan semua yang digariskan dalam SOP #Reopening Safely dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan itu yang dikuatkuasakan mulai 1 April.

Bagaimanapun, katanya bagi keperluan khusus yang membabitkan pihak berkuasa negeri Sabah, garis panduan atau panduan umum akan dikeluarkan dari semasa ke semasa dengan mengambil kira situasi semasa di negeri ini.

“SOP #Reopening Safely dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan berdasarkan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(Pelan Pemulihan Negara)(Fasa Peralihan ke Endemik) 2022 juga akan dikaksanakan di Sabah.

“Sebagai tambahan, kita juga akan mengeluarkan panduan umum bagi keperluan khusus yang membabitkan pihak berkuasa di Sabah dengan mengambil kira situasi semasa di negeri ini,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Sebelum ini, Masidi menyatakan kerajaan negeri mungkin melaksanakan SOP berkaitan pembukaan sempadan yang berbeza dengan persekutuan berdasarkan keperluan di negeri ini selepas meneliti SOP dikeluarkan kerajaan Pusat.

Bagaimanapun, pemain industri tempatan di Sabah, khususnya dalam sektor pelancongan merayu agar SOP seragam dilaksanakan di seluruh negara termasuk di negeri ini bagi mengelak kekeliruan dan kesukaran dialami pengembara dari luar negara yang mahu ke Sabah.

Selain SOP kemasukan pengembara, Sabah turut melaksanakan SOP pembukaan masjid dan surau dengan memansuhkan penjarakan fizikal jemaah seperti diputuskan kerajaan Pusat dalam fasa peralihan ke endemik bermula 1 April lalu.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker