1MDB:Pendakwa raya gesa Goldman disabitkan bersalah

NEW YORK: Seorang pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) semalam menggesa juri untuk mensabitkan kesalahan bekas pegawai kanan Goldman Sachs kerana membantu merompak berbilion dolar daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pihak pembelaan pula menuduh saksi utama kerajaan berbohong.

Dalam hujah penutupnya di mahkamah persekutuan Brooklyn, Penolong Peguam AS, Alixandra Smith, berkata defendan, Roger Ng, menerima lebih AS$35 juta (RM147.59 juta) dalam bentuk imbuhan daripada skandal rasuah dan pengubahan wang haram yang ‘teruk’ dan mesti bertanggungjawab.

Peguam Ng, Marc Agnifilo, membalas bahawa anak guamnya, yang pernah menjadi pegawai utama bank pelaburan terkemuka Goldman untuk Malaysia, didakwa ditipu oleh bekas bosnya, Tim Leissner, saksi utama.



Dalam hujah penutupnya di mahkamah persekutuan Brooklyn, Penolong Peguam AS, Alixandra Smith, berkata defendan, Roger Ng, menerima lebih AS$35 juta (RM147.59 juta) dalam bentuk imbuhan daripada skandal rasuah dan pengubahan wang haram yang ‘teruk’ dan mesti bertanggungjawab.

Peguam Ng, Marc Agnifilo, membalas bahawa anak guamnya, yang pernah menjadi pegawai utama bank pelaburan terkemuka Goldman untuk Malaysia, didakwa ditipu oleh bekas bosnya, Tim Leissner, saksi utama.

Perbicaraan hampir dua bulan itu berpunca daripada salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah.

Pendakwa raya berkata, Goldman membantu 1MDB mengumpul AS$6.5 bilion (RM27.41 bilion) melalui tiga jualan bon, tetapi AS$4.5 bilion (RM18.97 bilion) daripadanya diagihkan kepada pegawai kerajaan, pegawai bank dan rakan sekutu mereka melalui rasuah dan sogokan.



Goldman pada 2020 membayar denda hampir AS$3 bilion (RM12.65 bilion) dan unit Malaysianya bersetuju untuk mengaku bersalah.

Suspek utama dalang skandal itu, ahli perniagaan Malaysia, Jho Low, masih bebas.

Ng, 49, mengaku tidak bersalah bersubahat untuk mencuci wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah, dan berkemungkinan menjadi satu-satunya yang dibicarakan di AS berhubung 1MDB.

Pendakwa raya berkata, Ng membantu Leissner menggelapkan ratusan juta dolar, mencuci wang haram dan merasuah pegawai untuk memenangi perniagaan untuk Goldman.

“Kemudaratan kepada rakyat Malaysia tidak dapat diukur,” Smith memberitahu juri.

“Ia amat tidak adil kepada semua orang yang mematuhi peraturan.”

Leissner, 52, mengaku bersalah pada 2018 atas tuduhan yang sama seperti Ng.

Agnifilo menumpukan hujah penutupnya pada kredibiliti Leissner, selepas Leissner mengakui semasa memberi keterangan bahawa dia ‘banyak berbohong’.

Walaupun pihak pembelaan mengakui bahawa Ng memperkenalkan Leissner kepada Low, Agnifilo berkata, anak guamnya tidak memainkan peranan selanjutnya, dan Leissner berbohong untuk mendapatkan hukuman yang lebih ringan.

“Roger pada dasarnya adalah lelaki yang menjadi mangsa untuk semua perkara ini,” kata Agnifilo.

Smith mengakui bahawa Leissner memohon kelonggaran dengan memberi keterangan, tetapi berkata keterangan lain menyokong kisahnya.

“Apa yang dia beritahu anda mengenai jenayah yang dia lakukan bersama defendan dan orang lain disokong bukti dan konsisten dengan bukti lain,” kata Smith.

“Anda sudah tahu defendan bersalah berdasarkan bukti lain.”

Ng telah mengaku menerima AS$35 juta (RM147.60 juta) daripada Leissner, tetapi juri perlu memutuskan wang itu untuk apa.

Leissner berkata, wang itu adalah hasil sogokan daripada 1MDB, dan bahawa dia bersetuju dengan Ng untuk memberitahu bank supaya memproses pemindahan itu bagi ‘menutup kesalahan’ bahawa ia adalah daripada usaha perniagaan yang sah antara isteri mereka.

Isteri Ng, Hwee Bin Lim, memberi keterangan untuk pembelaan bahawa dia melabur AS$6 juta (RM25.30 juta) pada pertengahan 2000-an dalam sebuah syarikat China yang dimiliki oleh keluarga isteri Leissner ketika itu, Judy Chan.

Dia berkata, AS$35 juta (RM147.60 juta) adalah keuntungan daripada pelaburan itu.

Low telah didakwa pada 2018 bersama Ng. Pihak berkuasa Malaysia berkata, Low berada di China, yang dinafikan Beijing.

REUTERS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker