Merayau tagih ihsan orang ramai

Melaka: Hilang pekerjaan selepas keluar dari hospital akibat penyakit usus bocor antara dugaan besar dialami Hasrina Osman, 40, yang terpaksa menagih simpati orang ramai.

Dia terpaksa merayau dan meminta ihsan komuniti berikutan tiada sumber kewangan bagi membayar sewa bilik RM350 sebulan di Melaka Raya di sini, selain menampung keperluan harian.

Menurutnya, dia sudah tiga kali menjalani pembedahan termasuk ketumbuhan pangkal rahim pada 2018, membuang rahim dua tahun lalu dan terbaharu usus bocor.

Hasrina yang masih bujang berkata, tiada jalan lain mampu dilakukan selain meminta ihsan orang ramai kerana dia tidak mempunyai pekerjaan.



“Puas saya mencari pekerjaan termasuk bertanyakan beberapa pihak hotel di bandaraya ini namun gagal,” katanya yang pernah bekerja di kedai makan.

Menurutnya, dia bersyukur masih ada yang simpati dan menghulurkan sumbangan kepadanya.

“Ketika Ramadan ini, ada pihak menghulurkan makanan dan beras untuk saya. Tidak tahu bagaimana untuk membalas budi mereka,” katanya.

Sementara itu pengerusi Pertubuhan Pembangunan Tenaga Mahir Zon Selatan Idris Jaffar berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib wanita itu.



Menurutnya, pihaknya cuba mencari peluang pekerjaan bersesuaian untuk Hasrina.

“Keadaan kesihatan yang tidak menentu menyukarkan mana-mana pihak untuk mengambilnya bekerja. Tambahan pula dia baharu sahaja keluar dari hospital.

“Sehubungan itu, kami berusaha untuk memohon bantuan daripada mana-mana agensi kerajaan bagi meringankan penderitaannya,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker