Lagi stesen minyak disiasat
JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyiasat satu lagi stesen minyak di bandaraya ini kerana dipercayai menjual minyak bersubsidi kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.
Jumlah itu menjadikan tiga stesen minyak di negeri ini disiasat atas kesalahan yang sama.
Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro, berkata setakat ini pihaknya menerima tujuh aduan berhubung kesalahan
itu sejak sempadan Malaysia-Singapura dibuka pada Jumaat lalu.
“Kita buat pemeriksaan setiap hari ke atas stesen minyak bagi memastikan tiada kenderaan bernombor pendaftaran asing mengisi Ron95. Sehingga kini kita menerima tujuh aduan dan tiga daripadanya dalam siasatan.
“Kita akan menyiasat dengan pelbagai kaedah termasuk menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Pemantauan dan pemeriksaan lebih lanjut dilakukan, jika benar bersalah kita akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha stesen minyak.
“Kita minta kepada semua stesen minyak supaya ambil langkah pencegahan. Pastikan setiap stesen minyak ada elemen kawalan dan pemantauan sendiri. Sekiranya didapati ada kesalahan kami akan ambil tindakan,” katanya selepas membuat pemeriksaan ke atas sebuah stesen minyak di Jalan Tampoi di sini, hari ini.
Semalam, Pengarah KPDNHEP, Azman Adam mendedahkan terdapat dua stesen minyak di Johor sedang disiasat kerana didapati sengaja menjual petrol Ron95 kepada beberapa kenderaan dengan plat pendaftaran Singapura.
Sebelum itu, tular beberapa gambar aksi warga republik itu sedang mengisi minyak bersubsidi di stesen minyak di negeri ini tular di media sosial dan mendapat kritikan warganet.
Hairul Anuar turut meminta orang awam agar dapat menyalurkan maklumat dan aduan dengan jelas.
Katanya, ketiadaan maklumat jelas seperti lokasi dan waktu kejadian menyukarkan pihaknya untuk menjalankan siasatan terhadap pemilik stesen minyak terbabit.
Katanya, apabila viral aduan maklumat tidak jelas dan menyukarkan siasatan.
“Kita sama-sama pastikan hak pengguna di Johor sentiasa dilindungi. Tindakan KPDNHEP ini hanya kepada pengusaha stesen minyak sahaja bukan kepada pemilik kenderaan, sebab itu penting pihak pengusaha perlu pastikan perkara ini tidak berlaku.
“Langkah kawalan perlu dibuat sendiri oleh stesen. Kita ada tetapkan notis pemberitahuan dan pengusaha stesen minyak perlu mematuhi peraturan yang sudah dikeluarkan dengan jelas,” katanya.
BHOnline