Pemetaan kewangan bantu pencarum belanja wang KWSP

Pengeluaran khas caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 yang dijangka dikreditkan ke akaun pencarum mulai 20 April ini dijangka memberi pelbagai impak sama ada kepada pencarum dan ekonomi negara.

Pengeluaran khas ini dikatakan relevan dengan keperluan masa kini pencarum khususnya bagi membantu ‘melancarkan’ kembali kehidupan mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Hakikatnya keputusan kerajaan ini memberi pelbagai kesan baik dan kontra kepada pencarum. Dalam hal ini, jika pengeluaran khas ini digunakan sebaik mungkin untuk menampung ketidakcukupan dalam perbelanjaan isi rumah seperti keperluan makanan, pakaian, peralatan persekolahan, maka amat wajar simpanan itu dibelanjakan.



Sebaliknya, sekiranya wang pengeluaran khas ini digunakan untuk memenuhi kehendak hawa nafsu ia sesuatu yang amat mendukacitakan.

Dalam hal ini, pencarum disaran melakukan ‘pemetaan’ kewangan peribadi sebelum melakukan perbelanjaan. Pemetaan kewangan penting bagi memberi gambaran secara holistik mengenai kemampuan, kegunaan dan keperluan sebelum pembelian dibuat.

Pemetaan kewangan perlu dirangka secara khusus bagi memastikan wang pengeluaran sebanyak RM10,000 berupaya memberi nilai sewajarnya ke atas perbelanjaan dibuat.

Perincian menyeluruh berkenaan sumber kewangan sedia ada, penyusunan perbelanjaan berdasarkan kepentingan penggunaan, manfaat ke atas perbelanjaan serta simpanan sumber kewangan perlu diperincikan dengan teliti.



Pemetaan kewangan dijangka memberi impak kepada perbelanjaan berhemah kepada pencarum. Dengan adanya pemetaan kewangan, pencarum dapat mengenali kemampuan kewangan sendiri dengan lebih jelas, iaitu berdasarkan matlamat perbelanjaan dan kemampuan kewangan yang ada.

Oleh itu, aktiviti perbelanjaan dapat dilaksanakan secara berhemat, umpama ‘buka dompet, tanya matlamat’. Pencarum perlu menyoal diri sendiri beli untuk apa, untuk siapa dan mengapa perlu dibeli.

Persoalan ini perlu diperhalusi secara mendalam supaya perbelanjaan dilaksanakan tidak tersasar daripada matlamat asal.

Sehubungan itu, pencarum yang betul-betul terjejas perlu memanfaatkan pengeluaran ini dengan memastikan aspek keperluan dalam perbelanjaan didahulukan dan bukannya mendahului aspek kemahuan dalam berbelanja.



Bagi merealisasikan hal ini, bajet kewangan peribadi perlu dirangka bermula daripada keperluan diri yang perlu dipenuhi sehingga kepada keperluan anak dan keluarga menerusi pemetaan kewangan.

Pemetaan kewangan yang menyeluruh amat penting bagi mengelakkan berlaku kemiskinan luar jangka dan ketirisan dalam perbelanjaan.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan ketika pandemik COVID-19 melanda, hampir 20 peratus daripada golongan isi rumah dalam kategori M40 dalam skala had pendapatan di antara RM4,850 hingga RM10,959 terkeluar daripada kategori itu dan berada dalam kategori B40 membabitkan seramai 580,000 orang.

Dalam aspek pemetaan kewangan apa yang perlu diutamakan adalah faedah penggunaan, bukan sekadar untuk diri, tetapi juga kepada ahli isi rumah lain. Dalam hal ini, disiplin diri terhadap urusan kewangan selepas menerima pengeluaran khas KWSP ini perlu tegas dan tidak mudah dipengaruhi gaya hidup.



Ia bagi dapat memastikan kantung kewangan pencarum sentiasa berada ditahap mencukupi, tidak membebankan dan dapat meneruskan kelangsungan hidup bersama keluarga.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button