Peminat Liverpool berang pemilihan pengadil
LONDON: Peminat Liverpool berang dengan pemilihan Anthony Taylor dan Paul Tierney sebagai pegawai perlawanan untuk aksi Liga Perdana Inggeris menentang Manchester City Ahad ini.
Dengan kedua-dua pasukan hanya dibezakan satu mata di puncak liga, peminat Liverpool tidak puas hati dengan pemilihan pengadil yang mempunyai kaitan dengan Manchester itu.
Taylor berasal dari Wythenshawe di Manchester manakala pegawai VAR Tierney berasal dari Wigan, yang berada dalam daerah Greater Manchester.
Peminat Liverpool di media sosial berpendapat gandingan pegawai perlawanan ini akan memberi kelebihan kepada City, yang mendahului liga dengan kelebihan satu mata ke atas Liverpool.
Taylor, 43, pernah mengadili 47 perlawanan Liverpool sepanjang kariernya, dengan The Reds menang 27 daripadanya, seri 11 kali dan tewas sembilan kali.
Hanya dua kad merah ke atas mereka dalam 47 perlawanan itu – Emre Can ketika kemenangan 4-1 Liverpool di Arsenal pada April 2015 dan penjaga gol Doni dalam kemenangan 3-2 di Blackburn Rovers pada tahun 2012.
Taylor mengadili pertemuan antara Liverpool dan City sebanyak tiga kali – kemenangan 4-0 City ke atas Liverpool yang baru dinobatkan juara ketika Projek Restart pada Julai 2020, kemenangan 2-1 City di Etihad pada Januari 2019 dan keputusan 2-2 pada Februari 2013.
Taylor turut mengadili dua perlawanan Liga Perdana Inggeris terakhir antara Manchester United dan Liverpool, dengan skuad kendalian Klopp menang 5-0 musim ini dan 4-2 musim lalu.
Tierney, 41, mengadili 18 perlawanan Liverpool sepanjang kariernya dan mereka menang 10 kali, seri enam kali dan tewas dua kali. Dia mengadili perlawanan antara City dan Liverpool ketika seri 2-2 di Anfield pada Oktober.
Klopp pernah mempersoalkan keputusan Tierney yang menjaga VAR ketika Liverpool seri 2-2 menentang Tottenham Oktober lalu.
Pengendali dari Jerman itu tidak berpuas hati apabila Tierney memutuskan kad merah untuk Andy Robertson tetapi hanya memberikan kad kuning untuk Harry Kane.
AGENSI