Penemuan mayat gagalkan rundingan Russia-Ukraine

MOSCOW: Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov pada Selasa mendakwa penemuan mayat di bandar Bucha, Ukraine sebagai ‘provokasi’ yang bertujuan untuk menggagalkan rundingan antara Moscow dan Kyiv.

Bercakap melalui mesej video yang disiarkan televisyen di Russia, beliau berkata timbul persoalan apakah tujuan di sebalik tindakan yang terang-terangan adalah provokasi yang tidak benar ini?

“Kami didorong untuk mempercayai bahawa ia adalah bertujuan mencari alasan untuk ‘torpedo’ (mengaggalkan) rundingan yang sedang berjalan,” katanya.

Rundingan antara Russia dan Ukraine diteruskan selepas diplomat tertinggi mereka bertemu di pusat peranginan Turki di Antalya bulan lalu, perhimpunan pertama seumpama itu sejak permulaan operasi ketenteraan Moscow pada 24 Februari.



Russia minggu lalu mengumumkan akan mengurangkan secara drastik aktiviti ketenteraannya di utara Ukraine berikutan mesyuarat di Istanbul.

Ukraine mencadangkan perjanjian antarabangsa dengan negara lain memberi jaminan keselamatannya sebagai balasan kerana menerima status neutral dan bukan nuklear, tidak menyertai NATO dan enggan menjadi tuan rumah pangkalan tentera asing.

Menurut cadangan Ukraine, Russia tidak akan menentang kemasukan Kyiv ke Kesatuan Eropah (EU).

Lavrov berkata, situasi di Bucha bertujuan untuk mengalihkan perhatian daripada proses rundingan, mengalihkan perhatian daripada fakta bahawa pihak Ukraine, selepas Istanbul, mula berundur, cuba mengemukakan syarat baharu.



Namun dia menambah bahawa Russia bersedia untuk meneruskan rundingan.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menuduh tentera Russia membunuh orang awam di Bucha, susulan timbulnya imej mayat bergelimpangan di jalan raya susulan pengunduran Russia.

Bagaimanapun Kremlin menafikan sebarang tanggungjawab dan mencadangkan imej mayat sebagai lakonan.

Russia belum menjawab secara rasmi cadangan keselamatan Ukraine dan rundingan diteruskan melalui persidangan video. – AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker