Permintaan global lonjak ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia didorong oleh peningkatan permintaan global bagi eksport barangan pembuatan dan keuntungan daripada eksport sumber asli selain permintaan domestik yang teguh, demikian menurut Bank Pembangunan Asia (ADB).

Sehubungan itu, ia mengunjurkan ekonomi negara akan berkembang enam peratus tahun ini, sebelum mencatatkan pertumbuhan sederhana 5.4 peratus pada 2023.

Ia berkata, sistem kesihatan negara yang mantap dan kadar pelalian tinggi terhadap COVID-19 turut menyokong pemulihan.

“Namun, peningkatan import daripada pertumbuhan pelaburan domestik telah mengecilkan lebihan akaun semasa.



“Tekanan inflasi turut meningkat dengan kenaikan harga tenaga, penghapusan subsidi elektrik dan gangguan bekalan berterusan.

“Membantu isi rumah miskin kembali ke tahap prapandemik adalah cabaran dasar yang terbesar,” kata bank itu.

Dalam laporan Tinjauan Pembangunan Asia yang diterbitkan semalam, ADB berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di negara sedang membangun Asia dijangka kekal kukuh pada 5.2 peratus tahun ini dan 5.3 peratus pada 2023.

Bagaimanapun, katanya, tahap pemulihan adalah berbeza-beza merentasi subrantau.



Namun, secara umumnya, ia berkata pertumbuhan serantau disokong oleh pemulihan mantap permintaan domestik yang terus menghampiri trend prapandemik, khususnya di rantau Asia Selatan.

“Pertumbuhan di rantau itu kekal kukuh pada 2022 dengan unjuran tujuh peratus, sebelum berkembang lebih pesat kepada 7.4 peratus pada 2023,” katanya.

Ia menambah, pertumbuhan di rantau Asia Timur pada tahun lalu pula hampir kepada trend prapandemik.

“Kadar pertumbuhan rantau itu dijangka menjadi normal kepada 4.7 peratus pada 2022 dan 4.5 peratus tahun depan,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker