Youtuber, 3 rakan ditahan kes bunuh teman wanita
BALIK PULAU: Polis menahan seorang Youtuber dan tiga rakannya bagi membantu siasatan berhubung kejadian teman wanita Youtuber itu, cedera parah dipukul sebelum meninggal dunia di Teluk Kumbar di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata empat lelaki berusia 23 hingga 28 tahun itu ditahan sekitar Teluk Kumbar tiga hari lalu dan kelmarin bagi membantu siasatan kes bunuh berkenaan.
“Polis menerima laporan daripada seorang doktor di Hospital Balik Pulau (HBP), di sini pada 10.39 malam Sabtu memaklumkan seorang wanita berusia 20 tahun dibawa ke hospital itu selepas tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal.
“Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat kesan lebam di kepala dan seluruh tubuhnya sebelum wanita itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut berikutan keadaannya kritikal,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mangsa yang juga seorang Youtuber meninggal dunia pada 3 April ketika menerima rawatan di HPP dan susulan itu polis menahan empat lelaki berkenaan bagi membantu siasatan.
Kamarul Rizal berkata, empat lelaki itu direman hingga 11 April ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan bunuh.
Terdahulu media melaporkan, wanita itu cedera parah dipercayai dipukul teman lelakinya sebelum mangsa meninggal dunia dan kejadian itu berlaku selepas pasangan kekasih berkenaan bertengkar disyaki bermotifkan cemburu.
Mangsa dan teman lelakinya menumpang di rumah sewa rakan mereka sejak tiba di negeri ini 27 Mac lalu untuk video laman YouTube mereka. Difahamkan wanita itu berasal dari Melaka.
Pergaduhan membabitkan pasangan itu dipercayai bermula dengan pertengkaran sebelum teman lelakinya dikatakan memukul mangsa dengan objek tumpul sehingga tidak sedarkan diri dan wanita tersebut dikejarkan ke HBP namun dirujuk ke HPP untuk rawatan lanjut sebelum meninggal dunia.
BERNAMA