Cubaan seludup 4,080kg minyak masak gagal

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan lima lelaki kerana disyaki cuba menyeludup keluar 4,080 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi, semalam.

Semua suspek, termasuk empat warga asing berusia 20 hingga 50 tahun itu ditahan di Jeti Pangkalan Nelayan Silam Kem, di sini, jam 10.15 malam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi, berkata penahanan suspek hasil maklumat awam berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan jeti itu.

Beliau berkata, berikutan itu sebuah bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi bersama pasukan darat bagi pemeriksaan dan serbuan.



“Hasil serbuan melalui laut dan darat menahan seorang lelaki tempatan bersama empat warga asing yang sedang memunggah kotak berisi minyak masak dari lori ke bot dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

“Selain itu, sebuah bot kargo, dua lori berisi 240 kotak minyak masak dianggarkan berjumlah 4,080kg serta dua motosikal digunakan dalam kegiatan itu urut dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Mohd Rizam berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM234,096.

“Semua suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967,” katanya.



Sementara itu, beliau berkata, kuota pembelian minyak masak bersubsidi yang dibenarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi setiap isi rumah adalah sebanyak dua kilogram saja dalam satu masa.

“Kegiatan haram ini memberi kesan kepada 2,040 keluarga di Sabah dan Lahad Datu khususnya.

“Zon Maritim Lahad Datu akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang perlanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah di perairan daerah ini,” katanya.

Orang ramai diminta untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat atau aduan ke Zon Maritim Lahad Datu di talian 089-885727 atau MERS 999.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker