Peniaga ayam terpaksa tanggung kerugian

SHAH ALAM: Peniaga ayam di Pasar Moden Seksyen 16, di sini, mengeluh terpaksa menanggung kerugian apabila akur dengan arahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menjual barangan keperluan itu pada harga kawalan RM8.90 sekilogram.

Rata-rata peniaga terkilan kerana mendakwa pembekal menaikkan harga ayam sehingga menyebabkan mereka berada dalam keadaan tersepit apabila berdepan risiko dikompaun sekiranya turut menaikkan harga jualan.

Seorang peniaga terbabit, Sazali Ramli, 42, mendakwa beberapa hari menjelang Ramadan, pembekal sudah memaklumkan kenaikan harga ayam bermula hari pertama puasa pada Ahad lalu.

“Sebelum itu, kami memang mengikut harga kawalan RM8.90 sekilogram yang ditetapkan KPDNHEP. Namun apabila pembekal menaikkan harga ayam, kami terpaksa turut menaikkan harga kepada RM9.30 sekilogram. Jika tidak, kami tidak dapat menampung gaji pekerja dan kos sampingan lain.



“Bagaimanapun pada Isnin lalu, pegawai KPDNHEP datang membuat pemeriksaan harga sebab menerima laporan harga ayam naik di sini. Kami diarahkan menjual ayam pada harga RM8.90 sekilogram. Jika tidak, kami akan dikompaun.

“Justeru, kami akur dengan arahan KPDNHEP walaupun terpaksa menanggung kerugian sebab harga (harga jualan berbanding harga ditetapkan pembekal) tidak memberikan kami keuntungan sepatutnya,” katanya ketika ditemui di pasar berkenaan, semalam.

Walaupun akur, Sazali berkata, mereka agak kesal berikutan ada peniaga di pasar sekitar Shah Alam dan Subang didakwa tetap menaikkan harga ayam hingga RM9.30 ke RM10 sekilogram.

“Kami tersepit sebab harga kawalan ini ditetapkan hingga 5 Jun depan. Namun, jika sekali lagi (pembekal) naikkan harga, kami terpaksa naikkan juga. Kami tidak dapat menanggung kenaikan harga ini,” katanya.



Seorang lagi peniaga ayam, Muhammad Hafidz Hafifi, 24, mengaku berasa seperti teraniaya kerana terpaksa akur dengan arahan penguatkuasaan, sedangkan terdapat peniaga di pasar lain didakwa menjualnya pada harga tinggi.

“Kami memang amat terbeban dengan situasi ini kerana pembekal meletakkan harga tinggi tetapi kami di sini terpaksa mengekalkan harga jualan mengikut arahan KPDNHEP. Di tempat lain pula, penguatkuasaan didakwa tidak dilaksanakan dengan betul.

“Setiap hari, saya terpaksa mengambil bekalan 300 ekor ayam walaupun banyak kerugian ditanggung, demi menjaga pelanggan.

“Oleh itu, saya berharap ada tindakan sama adil di pasar lain juga yang didakwa menaikkan harga. Diharapkan isu harga ayam ini dapat diselesaikan secara baik,” katanya.

Beliau turut berharap penguatkuasaan dilakukan secara menyeluruh kerana mendakwa peniaga tidak akan menaikkan harga ayam dengan sewenang-wenang sekiranya tiada faktor mendesak.

Bagi Muhammad Amran Thazuddin, 44, isu kenaikan harga ayam menjelang Ramadan dan Aidilfitri bukan perkara baharu, sebaliknya berulang saban tahun.

“Setiap kali menjelang Aidilfitri, pasti ada kenaikan harga daripada pembekal. Kami berharap kerajaan, terutama pihak berwajib di bahagian kawalan harga, memantau harga ayam dari ladang lagi.

“Keadaan sekarang menyebabkan saya tidak mengambil bekalan ayam yang banyak. Saya menempah bekalan kira-kira 150 ekor ayam sehari tetapi mendapat kadar keuntungan kecil kerana perlu menjual pada harga kawalan.

“Diharapkan menjelang Aidilfitri nanti, kami mendapat harga lebih baik supaya memperoleh kadar keuntungan bersesuaian dengan pelbagai kos terpaksa ditanggung,” katanya yang berniaga ayam sejak kira-kira 10 tahun lalu.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker