Search, Denden mula berlatih untuk konsert

KUALA LUMPUR: Kumpulan Search kini sudah bertemu empat mata bersama vokalis baharu yang juga penyanyi Indonesia, Denden Gonjales yang tiba di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Mewakili Search, pemain gitar kumpulan ikonik legenda itu, Noordin Mohd Taib, berkata mereka sudah mula berlatih bersama Denden bagi mencari keserasian memandangkan ia adalah pertemuan pertama selepas pemilihan Denden dilakukan pada 31 Disember lalu.

Noordin berkata, tidak sukar mencipta keserasian bersama penyanyi berusia 39 tahun itu memandangkan mereka memiliki minat yang sama.

“Denden sudah lama merancang datang ke Malaysia, namun hasrat terpaksa ditangguhkan disebabkan pintu sempadan negara belum dibuka.

“Alhamdulillah, kami cepat peroleh keserasian biarpun kali pertama bersua. Denden sangat ringkas dan tenang, malah dia sudah tidak sabar bersama Search.

“Kehadiran Denden membantu mempermudahkan perancangan dan aktiviti disusun, termasuk hasrat mengadakan konsert pada Jun depan.

“Jadi, kami mengadakan sesi latihan bersama Denden sebagai persediaan konsert dan berharap segala-galanya akan dipermudahkan,” katanya kepada BH Online.

Berkongsi konsert, Noordin berkata, setakat ini, mereka masih belum menetapkan tarikh berikutan masih memilih lokasi bersesuaian.

Bagaimanapun, katanya, mereka sudah tidak sabar menghiburkan peminat memandangkan sudah lama tidak berbuat demikian, ditambah situasi pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

Beliau berkata, ramai peminat setia teruja melihat kemunculan Search beraksi bersama vokalis baharu.

“Menerusi maklum balas diterima, peminat tegar Search tidak sabar ingin melihat Search beraksi.

“Bagaimanapun, untuk konsert sulung bersama Denden, kami akan memainkan lagu-lagu yang belum pernah dimainkan dalam mana-mana konsert sebelum ini. Sebenarnya, ia adalah atas pemilihan peminat tegar kami.

“Kami ada memuat naik hantaran dalam laman sosial rasmi Search dengan bertanyakan peminat senarai lagu yang mereka ingin kami persembahkan.

“Ramai minta agar kami mainkan lagu yang tidak pernah Search dendangkan dalam konsert terdahulu,” katanya.

Noordin berkata, Search mempunyai banyak koleksi lagu sepanjang 40 tahun dalam industri muzik.

“Ada antaranya kami sendiri sudah lupa, tetapi peminat tegar Search tetap ingat dan minta dimainkan. Bagaimanapun, kami akan tetap memainkan beberapa lagu hit Search seperti Isabella atau Fantasia Bulan Madu,” kata Noordin lagi.

Sementara itu, ditanya adakah mereka mempunyai perancangan tampil dengan single baharu sempena kehadiran Denden.

Noordin berkata, buat masa ini, ia belum dalam perancangan kerana fokus Search hanyalah kepada konsert dan persembahan bersama Denden.

Katanya, mereka tidak mahu terburu-buru merakamkan lagu kerana mahu memastikan keserasian, sebelum membuat keputusan merakam lagu baharu.

“Perancangan hasil lagu baharu memang tidak ada. Ini kerana fokus kami mengadakan konsert terlebih dahulu.

“Lagipun, Search mempunyai banyak koleksi lagu yang belum pernah dimainkan atau didengar oleh peminat. Jadi, biar kami fokus ini dahulu. Tambahan pula, ini bukan musim pendengar beli album.

“Di Indonesia juga pendengar lebih sukakan lagu-lagu ‘recycle’. Proses menghasilkan album bukanlah mudah dan menelan kos bukan sedikit,” katanya.

Noordin berkata, satu lagi perkara membimbangkan adakah lagu baharu mendapat sambutan?

“Kami tidak mahu bersusah payah mengeluarkan modal, tetapi lagu tidak diterima. Jadi, sebelum berhasrat hasil lagu baharu, kami perlu mengkaji dengan teliti semua aspek kerana tidak mahu menanggung risiko,” kata Noordin.

Selain Noordin dan Denden, Search turut dianggotai Kid (gitar), Yan (bass) dan Pae (drum).

BHOnline

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker