Solat Tarawih terakhir

MERSING: Seorang remaja berkesempatan menunaikan solat tarawih yang terakhir sebelum maut ketika dalam perjalanan pulang dari menunaikan ibadah itu, apabila motosikal ditunggangnya terbabit nahas dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 3 Jalan Mersing-Endau, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata Muhammad Nor Firdaus Man Boy, 18, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Beliau berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing menerima panggilan awam pada jam 10.15 malam, memaklumkan berlaku kemalangan membabitkan sebuah motosikal dengan sebuah SUV jenis Proton X50.

“Insiden berlaku ketika SUV itu dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun dari arah Mersing menuju ke Endau.

“Setiba di tempat kejadian, pemandu kenderaan terbabit dipercayai cuba membelok ke sebelah kanan jalan, ke arah sebuah kedai makan berhampiran.

“Pada masa sama, motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan dipercayai tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi kiri hadapan SUV berkenaan.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa meninggal dunia kerana mengalami kecederaan parah. Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik, Hospital Mersing, untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, ujian darah juga akan dijalankan bagi menentukan sama ada pemandu SUV terbabit berada bawah pengaruh alkohol atau dadah ketika kejadian.

“Pemandu kenderaan itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana cuai ketika memandu dan menyebabkan kemalangan maut,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker