Along salah alamat

Melaka: “Saya syak ini angkara along tersalah alamat kerana saya tidak pernah pinjam atau berhutang dengan mana-mana ceti haram,” kata Md Deris Salleh, 69.

Md Deris berkata demikian ketika mengulas kejadian rumah dan kereta menantunya disimbah cat merah oleh individu tidak dikenali, awal pagi tadi.

Menurutnya, kejadian disedari isterinya, Jamilah Baba, 62, ketika bangun menyediakan juadah bersahur untuk mereka sekeluarga sekitar jam 4.30 pagi.



Katanya, sebaik membuka pintu rumah dan lampu luar isterinya ternampak cahaya merah terang sebelum memberitahu kepadanya.

“Apabila menantu saya Mohamad Faizal Mohamad Yusoff, 32, memeriksa dia terkejut mendapati bahagian sisi kanan Proton Persona miliknya disimbah cat merah. Bahagian depan berenda rumah dan kereta Proton Saga anak saya turut terkena cat itu.

“Selain itu terdapat kertas mengandungi tulisan Cina berserta nombor telefon luar negara atas nama ‘Mikey Keat’ ditinggalkan di pagar rumah,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di rumahnya di Lorong Haji Ariffin, Batu 7, Tanjung Kling di sini.

Md Deris berkata, mereka sekeluarga amat terkejut dan bimbang dengan kejadian itu yang tidak pernah berlaku sebelum ini, selain tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa di kampung itu.



Katanya, anak perempuannya, Nurul Hizaty, 28, turut cuba menghubungi nombor telefon itu dan menghantar mesej di WhatsApp memaklumkan individu terbabit tersalah alamat dan meminta ganti rugi, namun tidak berbalas.

“Anak saya juga ada menyemak maksud tulisan Cina itu di internet ia bermaksud ‘Kalau x reply saya lagi, saya akan bakar rumah awak jadi arang!’

“Alamat rumah dinyatakan juga bukan rumah saya, mungkin mereka tersilap orang. Apapun kami amat bimbang berlaku sesuatu yang tidak baik apatah lagi cat berwarna merah ini biasanya dikaitkan memberi amaran,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Tanjung Kling di sini.

Mengulas lanjut, pesara tentera itu berkata, sebelum kejadian tidak ada apa-apa yang pelik berlaku.



“Biasanya jika ada kereta atau motosikal masuk ke kawasan rumah kami ini anak saudara saya akan perasan kerana rumah kami berdekatan antara satu sama lain.

“Mungkin individu yang menyimbah cat ini meletakkan kenderaan di luar dan berjalan kaki ke rumah saya,” katanya.

Md Deris berkata, di sebalik kejadian itu, mereka sekeluarga bersyukur tidak diapa-apa oleh si pelaku selain cat merah itu jenis cat kapur dan boleh dibersihkan.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button