Anak Maradona dakwa bukan jersi sebenar

BUENOS AIRES: Anak perempuan sulung Diego Maradona mendakwa jersi Argentina yang dijangka akan dijual dengan harga beberapa juta dollar pada lelongan bulan ini, bukan dipakai bapanya ketika menjaringkan gol “Tangan Tuhan” berdepan England.

Dalma Maradona berkata jersi yang akan dilelong itu sebenarnya dipakai bapanya ketika seri tanpa jaringan pada babak pertama suku akhir Piala Dunia 1986.

Steve Hodge, bekas pemain England yang berkata Maradona menukar jersi dengannya pada penamat saingan di Mexico City, mahu menjual jersi berkenaan yang dijangka boleh dibeli dengan harga lebih £4 juta (RM22.06 juta).



Syarikat lelongan Sotheby menafikan dakwaan Dalma Maradona dengan berkata mereka sudah mendapat “padanan gambar konklusif” yang membuktikan bahawa ia tulen.

Sotheby juga menyatakan bahawa Maradona sendiri menyatakan dia menukar jersi dengan Hodge di dalam terowong pemain selepas aksi klasik Piala Dunia 1986 itu.

Bagaimanapun Dalma Maradona terus mendakwa jersi yang dipakai bapanya pada babak kedua, ketika dia menjaringkan satu daripada gol terhebat dalam sejarah Piala Dunia, berada di tangan pemilik lain namun enggan menamakannya.

“Ia bukan yang itu. Saya tidak mahu beritahu siapa memilikinya kerana ia gila. Dia (Diego Maradona) memberitahu saya. katanya, ‘Bagaimana boleh saya memberikannya jersi yang juga kehidupan saya?'” katanya.



“Bekas pemain itu memikirkan dia ada jersi babak kedua bapa saya, tetapi sebenarnya bukan. Dia memiliki jersi dipakai pada babak pertama.

“Kami mahu ia dijelaskan supaya orang yang mahu membelinya tahu perkara sebenar,” kata Dalma dalam satu kenyataan berasingan di televisyen Channel 13.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button