Kastam berjaya patahkan 4 sindiket penyeludupan sepanjang Mac
Pelabuhan Klang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Tengah, Unit II (Selangor) berjaya mematahkan empat sindiket penyeludupan minuman keras serta organ haiwan sejuk beku dengan nilai rampasan melebihi RM3.4 juta termasuk duti/cukai di Pelabuhan Utara, di sini sepanjang Mac lalu.
Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, rampasan dibuat pada 11 Mac, 23 Mac, 28 Mac dan 30 Mac lalu.
“Kes pertama membabitkan penyeludupan kontena minuman keras dengan anggaran kuantiti rampasan sebanyak 13,824 liter dan nilai rampasan sebanyak RM82,944 dan jumlah duti/cukai dianggarkan sebanyak RM 217,382.40. Siasatan ke atas pengimport dan ejen perkapalan masih dijalankan.
“Manakala kes kedua membabitkan empat kontena yang yang memuatkan kulit ikan sejuk beku (frozen fish skin) dan tulang lembu sejuk beku (frozen beef bone) dengan anggaran kuantiti sebanyak 97,000 kilogram dan nilai rampasan dianggarkan RM 861,400,” katanya.
Menurutnya, seorang lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan.
Abdul Latif bekata, bagi kes ketiga pula, pasukannya menyerbu premis tidak berpenghuni di kawasan Klang pada 28 Mac lalu dan merampas minuman keras sebanyak 8,394.89 liter dengan nilai rampasan dianggarkan RM 407,891.80 dan jumlah duti/cukai dianggarkan RM 444,762.91. Pemilik premis dan dagangan sedang disiasat,” katanya.
Beliau berkata, dalam kes keempat pada 30 Mac lalu, pasukan menyerbu sebuah gudang di Jalan FZ4-P3, PKFZ, di sini dan mendapati premis menyimpan minuman keras disyaki barang larangan
dengan anggaran kuantiti rampasan sebanyak 7,887 liter dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM 361,986 dan jumlah duti/cukai dianggarkan RM 1,040,538.90. Pemilik premis dan dagangan juga sedang disiasat,” katanya.
Katanya, semua rampasan dipercayai barang larangan di bawah Butiran 3, Jadual Ketiga/ Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.
“Kes pertama, kedua dan keempat sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu cubaan mengimport barang tidak berkastam atau apa-apa barang larangan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
“Manakala Kes ketiga sedang disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dengan disedarinya melindungi, menyimpan, menyembunyi, atau mempunyai dalam milikannya, atau membenarkan, membiarkan, menyebabkan atau mendapatkan untuk dilindungi, disimpan atau disembunyi, apa-apa barang-barang tidak berkastam atau barang larangan,” katanya.
METRO