Penghantar makanan patah tangan terlanggar gajah

KLUANG: Seorang penunggang motosikal patah tangan, selain cedera pada dahi selepas terlanggar sekawan gajah yang sedang melintas jalan di kilometer 85 Jalan Kluang-Kota Tinggi, di sini malam tadi.

Kejadian berlaku ketika Mohamad Syamil Mohd Zainol, 23, dalam perjalanan menghantar makanan dari Kluang menuju Taman Seri Lambak, di sini.

Berdasarkan maklumat, mangsa dikatakan tidak sempat mengelak gajah terbabit yang tiba-tiba disedari berada di tengah jalan sebelum merempuhnya.



Bapa mangsa, Mohd Zainol Abu Bakar, 48, berkata dia yang berada di rumah di Taman Seri Impian, di sini, berkata dia bergegas ke lokasi sejurus dimaklumkan mengenai kejadian itu melalui panggilan telefon kira-kira jam 8.55 malam.

“Anak saya ketika itu berada dalam ambulans memaklumkan dia tidak perasan kehadiran kumpulan gajah terbabit termasuk bilangannya.

“Dia seolah-olah melantun sebaik melanggar gajah terbabit sebelum terpelanting ke jalan.

“Selepas dilanggar gajah berkenaan ada mengeluarkan bunyi, sebelum berlari ke arah kebun pisang bersebelahan lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.



Mohd Zainol berkata, anaknya itu bernasib baik kerana kawanan gajah terbabit tidak mengamuk dan menyerangnya semula, serta berterima kasih kepada orang ramai yang membantu.

“Ini kali pertama dia cedera teruk dalam kemalangan sehingga perlu dimasukkan besi pada tangan kanannya yang dijangka dilakukan Ahad ini di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.

“Ketika ini dia masih mendapatkan rawatan di wad hospital dan keadaannya beransur pulih, cuma masih lemah sedikit,” katanya berharap pihak berkuasa bertanggungjawab memastikan lokasi kejadian dapat diterangi bagi mengelak insiden sama berulang.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button