Ten Hag calon utama Man United

LONDON: Erik ten Hag adalah calon utama pengendali tetap Manchester United, mengatasi Mauricio Pochettino yang kini membimbing Paris Saint-Germain.

Pengendali Ajax berusia 52 tahun itu dilihat sebagai calon tepat oleh lembaga pengarah United yang mahu mengembalikan kegemilangan kelab itu seperti ketika di bawah kendalian Alex Ferguson.

Media British melaporkan United sudah berbincang dengan Ajax – yang ketua eksekutifnya adalah bekas penjaga gol United Edwin van der Sar – minggu lepas berkenaan syarat-syarat untuk melepaskan Ten Hag.

Kontrak pengendali itu akan berakhir hujung musim depan dan United perlu membayar sekitar 1.6 juta pound (RM8.89 juta) untuk mendapatkannya lebih awal manakala jumlah lebih besar perlu dibayar kepada PSG untuk mendapatkan Pochettino.

Bagaimanapun kedudukan Pochettino di PSG semakin goyah selepas tersingkir di kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah.

Ten Hag – yang Ajax kendaliannya ditewaskan oleh Tottenham kendalian Pochettino pada separuh akhir Liga Juara-Juara 2019 – menuntut lembaga pengarah United memberikannya tempoh lima tahun sekiranya mahu dia membimbing kelab itu.

Pengendali sementara Ralf Rangnick gagal menghasilkan keputusan konsisten sejak mengambil alih pasukan daripada Ole Gunnar Solskjaer yang dipecat November lalu.

Manchester United kini di tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris, tiga mata di belakang Tottenham yang menghuni tangga keempat dan terakhir untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker