El Clasico EPL City Liverpool

KOLUM APA KATA EPL

Detik yang dinantikan penyokong pendahulu Liga Perdana Inggeri (EPL) Manchester City dan pencabar terdekat mereka yang juga penghuni tangga kedua, Liverpool akhirnya tiba juga. Ya, minggu ini `perang besar’ akan berlaku di bumi Manchester.

Kedua-dua kelab gergasi Inggeris ini akan membuat perhitungan di Stadium Etihad lewat malam esok yang dianggap ramai sebagai penentu kepada kejuaraan liga musim ini, kerana pasukan pemenang jelas memiliki kelebihan untuk bergelar juara.

Ketika ini kedua-duanya hanya dipisahkan satu mata dengan City menghimpunkan 73 mata manakala The Reds mengumpul 72 mata selepas 30 perlawanan. Selepas pertemuan berkenaan, saingan musim ini berbaki tujuh lagi selepas itu.

Mampukah Liverpool menenangi perlawanan ini untuk menghidupkan peluang mereka merampas kejuaraan dari City atau sebaliknya? Atau adakah aksi ini akan berakhir dengan keputusan seri, sekali gus terus kekal memberi kelebihan kepada City di persada liga?

Janganlah tanya soalan ini kepada Klopp kerana pengendali The Reds ini tidak mengganggap ia sebagai penentu gelaran kerana menyifatkan anak buahnya harus berdepan tujuh lagi ‘halangan’ selepas ini dan mereka harus kental serta tabah menghadapinya.

Ia termasuk berdepan musuh ketatnya, Manchester United di Old Trafford, 20 April ini, selain tetangganya di Merseyside, Everton (24 April, Anfield), Newcastle (30 April), Tottenham (8 Mei, Anfield), Aston Villa (11 Mei), Southampton (15 Mei) dan terakhir Wolves (22 Mei, Anfield).

Liverpool akan juga membuat perhitungan sekali lagi dengan City pada separuh akhir Piala FA di Wembley pada 16 April ini, selain menentang Benfica pada aksi kedua suku akhir Liga Juara-Juara di Anfield pada Khamis ini. Mereka menang 3-1 pada aksi pertama.

City pula selepas ini akan berdepan Brighton (21 April), Wolves (tarikh belum ditetapkan), Watford (27 April, Etihad), Leeds (1 Mei), Newcastle (8 Mei, Etihad), West Ham (15 Mei) dan aksi terakhir menentang Aston Villa (22 Mei, Etihad.

Selain Piala FA, City juga akan beraksi dalam aksi kedua peringkat suku akhir Liga Juara-Juara menentang Atletico di Madrid pada 14 April. Seperti juga The Reds, City dilihat memiliki peluang cerah layak ke separuh akhir pada 28 April ini yang diadakan secara timbal balik.

Dengan tiga piala masih menanti untuk direbut, jelas tekanan amat dirasai baik City dan Liverpool dalam memburu gelaran berganda musim ini dengan sebarang kesilapan harus diminimumkan dan skuad perlu sentiasa cergas.

Melihat rekod lalu, City hanya tewas sekali dalam 12 pertemuan terakhir menentang Liverpool (menang 7 seri 4) iaitu tewas 4-1 ketika kunjungan pertama Klopp ke Etihad pada November 2015.

Hakikatnya, kemenangan sangat penting bagi kedua-dua pasukan. Andai City menang aksi malam esok, mereka akan berkelebihan empat mata selepas itu manakala Liverpool dengan dua mata. Selamat menonton.

Ramalan minggu ini:

Newcastle 2-1 Wolves

Everton 1-2 Manchester United

Watford 2-2 Leeds

Southampton 2-2 Chelsea

Arsenal 3-2 Brighton

Aston Villa 1-3 Tottenham

Leicester 1-2 Crystal Palace

Norwich 1-1 Burnley

Brentford 1-1 West Ham

Manchester City 2-2 Liverpool

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker