Kian Meng-Pei Jing ke final Terbuka Korea

KUALA LUMPUR: Pasangan beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mara ke pentas final Terbuka Korea 2022 yang juga pertama buat mereka pada musim ini.

Kian Meng-Pei Jing yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan, menundukkan pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 21-13, 22-20 dalam tempoh 46 minit di pentas separuh akhir, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan lima rekod pertemuan antara mereka kini memihak Kian Meng-Pei Jing dengan 3-2 selepas kali terakhir gandingan itu menundukkan lawan sama di Terbuka Perancis 2019.

Kian Meng-Pei Jing dijadual bertemu pasangan Korea Selatan yang juga pilihan keempat kejohanan, Ko Sung Hyun-Eom Hye Won di pentas final esok selepas lawan mereka itu menundukkan rakan senegara, Kim Wonho-Jeong Na Eun 21-9, 21-15.

Di atas kertas, Kian Meng-Pei Jing tidak dilihat mempunyai masalah besar untuk meraih gelaran pertama mereka musim ini dengan dua rekod pertemuan dengan Sung Hyun-Hye Won memihak kepada mereka.

Kian Meng-Pei Jing pernah menewaskan lawan mereka itu di Terbuka Denmark 2021 dengan keputusan 18-21, 21-18, 21-13 dan di suku akhir Indonesia Masters 2020, 21-7, 21-18.

Untuk rekod, kali terakhir Kian Meng-Pei Jing meraih gelaran adalah di Kejohanan Far East Malaysia Master 2017, menewaskan rakan senegara Goh Soon Huat-Shevon Lai 21-17, 21-9.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker