Tepung bungkus Pn Fadzilah diminati lebih 3 generasi

KEPALA BATAS: Mementingkan kualiti dan memenuhi citarasa pelanggan, menjadikan tepung bungkus digelar ‘legend’ yang diusahakan Fadzilah Omar, 54, dari Kampung Guar Tuan Syed, Lahar Kepar, di sini, kekal diminati selama lebih tiga generasi.

Fadzilah atau mesra disapa maksu, mengusahakan perniagaan tepung bungkus sejak 30 tahun lalu secara kecil-kecilan, amat mengutamakan kualiti supaya pelanggan yang kebanyakannya orang kampung dapat merasai keenakan kuih itu sama seperti zaman awal dia berniaga.

Semua bahan untuk menghasilkan tepung bungkus juga amat dititikberatkan apabila dia hanya menggunakan kepala parut segar tanpa sebarang bahan pengawet untuk dijadikan inti.



“Resepi tepung bungkus ini dari arwah ibu, maksu tak ubah apa-apa sebab pelanggan memang suka sangat dengan cara pembuatan secara tradisional mengikut orang lama dulu. Seperti inti, kebanyakan resipi ajar tambah bahan lain untuk melikatkan inti, proses jadi cepat, tetapi maksu tak nak kerana mahu pastikan kualiti dijaga.

“Maksu ambil masa agak lama untuk menyiapkan inti, satu jam untuk memasak inti tepung bungkus supaya mendapat tekstur dikehendak. Inti maksu buat daripada kelapa parut segar, gula merah termasuk sedikit gula putih tanpa campur apa-apa bahan lain untuk melikatkannya.

“Ia kemudian digentel atau dibulatkan dan dibalut dengan tepung pulut yang sudah dibancuh. Proses menggentel inti sebenarnya susah dan perlu kesabaran tinggi. Sebab itu ada peniaga lain yang nak mudah akan tambah bahan lain, tetapi maksu berusaha siapkan inti pada waktu malam sebelum buat tepung bungkus pagi esoknya.

“Seterusnya inti akan dimasukkan ke dalam bancuhan tepung beras dan santan yang dilapik atas daun pisang, kemudian dibalut seperti lepat sebelum dikukus di atas api sederhana rendah selama 10 minit,” kata ibu empat anak ini ketika ditemui di rumahnya.



Katanya, dia tidak berani untuk mengkomersialkan tepung bungkusnya kerana ketika ini, terutama pada Ramadan, sambutan amat menggalakkan.

“Sebelum puasa, maksu memang letak tepung bungkus ini di kedai-kedai kopi berdekatan rumah, bila puasa maksu letak di kedai anak di Permatang Rambai, Penaga. Pada masa sama, banyak agensi kerajaan terutama pihak hospital, sekolah, pejabat sekitar kawasan ini buat tempahan.

“Di kedai anak yang buka mulai jam 2.30 petang setiap Ramadan, tak sempat tepung bungkus disusun atas meja, ramai datang ambil sebab mereka sudah buat tempahan awal sehingga yang lain jadi kecewa” katanya yang hanya mampu menghasilkan 250 biji tepung bungkus sehari dengan bantuan suami, Sabudin Dahaman, 65.

Fadzilah berkata, selain tepung bungkus, dia turut menghasilkan pelbagai kuih lain dan manisan, antaranya pau, ketayap dan tapai, namun terpaksa dihentikan seketika atas faktor usia serta kekangan masa.



“Dekat nak raya, maksu akan terima tempahan halwa maskat dan ketupat palas, terpaksa henti ambil tempahan kuih-muih sebab tak cukup masa, faktor usia juga buat maksu mudah letih. Sebelum ini, pernah juga bagi tempahan yang diterima untuk orang lain buat, tetapi ramai pelanggan mengadu rasa tak sama,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button