Beg sekolah berlumuran darah

Damsyik: Empat kanak-kanak dalam perjalanan ke sekolah terbunuh ketika tentera kerajaan Syria membedil sebuah perkampungan dikuasai pemberontak di barat laut Syria, baru-baru ini.

Serangan pada Isnin lalu itu disasarkan ke kampung Maaret Al Naasan, di wilayah Idlib yang mempunyai tiga juta penduduk, kata aktivis pembangkang.

Haji Ahmed, pengetua di sekolah Al Amal berkata, dua daripada kanak-kanak terbunuh itu adalah murid tahun lapan serta dua lagi, seorang murid tahun tujuh dan murid tahun sembilan, lapor The National.



Beliau berkata, serangan berlaku kira-kira jam 11.15 pagi.

“Mereka dalam perjalanan untuk memulakan hari persekolahan dan bedilan oleh rejim penjenayah melanda kawasan kami,” katanya sambil menjelaskan kanak-kanak lelaki itu terbunuh kira-kira 50 meter dari sekolah.

Beg sekolah mereka berlumuran darah.

Terdapat tanda agensi Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) yang masih berada di atas tanah beberapa lama selepas tembakan, menurut agensi berita asing.



Mayat kemudian dimasukkan ke dalam beg hitam dan dikebumikan di tanah perkuburan kampung itu.

Jurucakap Unicef, Juliette Touma mengecam serangan itu.

“Ini adalah peringatan yang jelas bahawa jenayah perang terhadap kanak-kanak berterusan.

“Setiap kanak-kanak di Syria, di mana sahaja mereka berada, mempunyai hak untuk pergi ke sekolah dengan selamat,” kata Touma.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button