Doktor bantu ibu bapa jual sate

Slim River: Walaupun saban hari kadangkala penat bekerja merawat pesakit, namun seorang doktor tetap meluangkan masa cuti di hujung minggu bagi membantu ibu dan ayahnya berniaga sate di bazar Ramadan di Pusat Perniagaan Slim Perdana, dekat sini.

Dr Mohammad Nawawi Jamalos, 33, yang bertugas di Hospital Serdang, Selangor berkata, ketika zaman kanak-kanak dan remaja, ayahnya, Jamalos Teratib, 65 dan ibunya ,Malasiah Alwi, 59, menumpang berniaga sate di restoran Cina.

Menurutnya, disebabkan faktor umur, ibu bapanya kini hanya menumpukan perniagaan sate setahun sekali di bazar Ramadan di samping menerima tempahan sahaja.



“Pendapatan hasil jualan satelah yang membesarkan kami lima beradik sehingga saya dan abang serta adik lelaki juga berjaya melanjutkan pelajaran di universiti yang kini bekerja sebagai jurutera, mankala dua adik perempuan kembar masih belajar di sekolah menengah.

“Pengalaman membantu ibu dan ayah menyedarkan saya tentang cabaran dan kesusahan yang dialami oleh mereka sepanjang berniaga mencari pendapatan untuk membesarkan dan persekolahan kami,” katanya ketika ditemui, dekat sini.

Setiap kali cuti hujung minggu, bermula 3 petang beliau akan mula membantu ayah dan ibunya sehingga 6 petang berniaga sate ayam dan daging di bazar berkenaan.

Sate ayam dan daging resepi turun temurun dijual secucuk 90 sen yang dinikmati bersama kuah kacang.



Beliau berkata, walaupun sudah bergelar seorang doktor namun bukanlah halangan untuk beliau turun padang membantu ayah dan ibu di gerai sate.

Katanya, inilah masanya untuk kembali membalas jasa ibu dan ayah yang selama ini berkorban masa dan wang untuk membesarkan dan memberi pendidikan sehingga berjaya.

“Siapalah saya sekarang ini, jika tidak kerana jasa ibu dan ayah belum tentu saya dapat menggapai cita-cita menjadi seorang doktor.

“Jasa dan pengorbanan mereka tidak terbalas dengan wang ringgit atau harta dan selagi mereka masih ada maka wajarlah kita menghargai mereka,” katanya.



Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan dari Universiti Malaya (UM) dan masih bujang berkata, rasa penat hilang selepas melihat hasil jualan sate yang diusahakan ibu dan ayahnya setiap hari laris dijual di bazar berkenaan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button