Harga biskut raya naik

Gua Musang: Akibat kenaikan harga barang, kebanyakan pengusaha biskut raya di daerah ini terpaksa menaikkan harga jualan atau mengurangkan kuantiti produk mereka pada tahun ini.

Kenaikan harga bahan mentah seperti tepung gandum, mentega, gula dan tepung khas antara 30 hingga 40 peratus menyebabkan berlaku kenaikan harga biskut raya menjelang Aidilfitri ini.

Pengusaha biskut raya, Zaimah Ahmad, 52, berkata kenaikkan harga bahan mentah menyebabkan berlaku peningkatan kos dalam pembuatan biskut raya.

Menurutnya, secara tidak langsung dia tidak mampu untuk mengekalkan harga dengan kuantiti biskut yang sama seperti tahun lalu.

“Sama ada saya terpaksa mengurangkan kuantiti biskut daripada 45 biji kepada 35 biji untuk mengekalkan harga yang sama iaitu RM30 sebotol seperti tahun lalu.

“Tahun lalu harga bahan mentah utama iaitu tepung gandum sekotak adalah RM21.50 untuk 10 paket, kini meningkat kepada RM26.00.

“Manakala sekotak mentega berisi 60 ketul ialah RM280, tetapi tahun ini sudah naik kepada RM360.00,” katanya ketika ditemui di kedainya di Kampung Kolam Mas, di sini.

Zaimah yang sudah 23 tahun menerima tempahan biskut raya berkata, tahun ini dia hanya menerima tempahan sebanyak 300 botol sahaja kerana modal agak besar diperlukan untuk membuat biskut.

“Kalau ikutkan tahun ini saya nak bercuti daripada mengambil temapahan biskut raya kerana kos bahan mentah naik mendadak, tetapi saya teruskan juga kerana ada permintaan daripada pelanggan tetap,” katanya.

Pembuat kek dan biskut, Nor Liyana Abdullah, 38, pula berkata, dia terpaksa menaikkan harga biskut raya pada tahun ini untuk menampung kos pembuatan yang meningkat.

“Saya terpaksa menailkan harga biskut raya tahun ini antara RM1 hingga RM2 kerana harga bahan mentah yang meningkat.

“Jika dulu biskut yang dijual berharga sekitar RM28 tapi tahun ini saya naikkan harga antara RM29 dan RM30, bergantung kepada jenis,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker