Nak minyak masak paket, beli barang lain dulu

KUALA LUMPUR: Sebuah pasar raya di Selayang meletakkan syarat perlu membeli barang lain terlebih dahulu sebelum dapat membeli minyak paket bersubsidi yang dijual pada harga RM2.50 sekilogram (kg).

Tinjauan di pasar raya itu turut mendapati, mereka yang ingin membeli minyak masak perlu ke kaunter dan membuat pembayaran terlebih dahulu sebelum menunjukkan resit pembelian kepada pekerja di bahagian pintu keluar pasar raya.

Selain membuat peraturan sedemikian, pengurusan pasar raya itu turut meletakkan syarat perlu membeli tiga paket minyak sekali gus kerana sudah membungkus minyak di dalam plastik.



Bagaimanapun, pembeli, M Saravanan, 56, berkata dia tidak kisah dengan peraturan sedemikian walaupun agak menyusahkan

kerana perlu mengambil di bahagian luar.

Katanya, setakat ini dia tidak pernah datang semata-mata untuk membeli minyak sahaja kerana selalunya ada sahaja barangan lain yang perlu dibeli bersama.

“Memang minyak masak paket dihadkan tiga paket sahaja dan itu bukan satu masalah kerana bekalan sentiasa ada di pasar raya ini,” katanya.



Peniaga kedai makan, Hairul Majid, 46, berkata pasar raya itu tidak pernah mempunyai masalah kekurangan bekalan minyak masak setakat ini dan bekalan tidak pernah putus.

Malah katanya, pasar raya itu turut menjadi pilihan orang ramai dari Kajang dan Semenyih untuk membeli pelbagai barangan keperluan lain kerana harga yang dijual lebih murah.

“Sebab itu kawasan ini sentiasa sesak dengan kenderaan kerana orang ramai tahu di mana untuk mencari barang keperluan dengan harga murah,” katanya.

Bagi suri rumah yang berasal dan menetap di Gombak, Gusmar Jamahar, 37, dia sanggup datang ke pasar raya berkenaan untuk membeli barang keperluan kerana harganya lebih murah.



Namun katanya, pasar raya itu juga pernah mengalami masalah tiada bekalan minyak masak beberapa kali sebelum ini.

“Saya berharap masalah bekalan tidak kira minyak masak atau barangan keperluan lain termasuk telur tidak berlaku lagi kerana ia sangat menyukarkan dan membebankan pengguna kerana ia akan menjadi antara alasan untuk peniaga menaikkan harga barangan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di beberapa pasar raya di Cheras mendapati hanya sebuah pasar raya tiada bekalan minyak masak paket sejak seminggu lalu manakala sebuah lagi pasar raya tiada bekalan sejak pagi tadi.

Bagaimanapun, difahamkan setakat ini ia bukan masalah besar kerana sebuah pasar raya berhampiran sentiasa mempunyai bekalan minyak masak paket.



Pengurus pasar raya berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Soon, berkata pasar raya itu tidak pernah mengalami masalah bekalan.

Katanya, setiap hari sebanyak 10 karton minyak pasak paket akan dikeluarkan dari stor dan jika habis dijual bekalan akan ditambah lagi dengan anggaran penjualan sebanyak 100 karton seminggu.

“Di sini kita akan kawal pembelian dan memang hanya hadkan sebanyak tiga paket kepada setiap keluarga kerana tidak mahu ada pihak yang menyalahgunakan bekalan ini.

“Selain itu, ia bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan dapat memenuhi permintaan,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button