Ribuan pekerja Malaysia mula ulang-alik ke Singapura
JOHOR BAHRU: Ribuan pekerja Malaysia yang mahu pulang bekerja di Singapura memenuhi Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, sejak jam 8 malam tadi hingga awal pagi tadi.
Ia selepas lebih seminggu sempadan Malaysia-Singapura dibuka pada 1 April lalu.
Beberapa kumpulan facebook pekerja Malaysia-Singapura sejak malam tadi memuat naik gambar ribuan pekerja Malaysia yang beratur sehingga di tepi jalan utama CIQ itu bagi kembali berulang-alik ke republik itu bagi bekerja.
Ramai pekerja Malaysia turut memuat naik dan berkongsi pengalaman mereka beratur antara satu jam setengah sehingga hampir tiga jam sebelum berjaya melepasi pemeriksaan di CIQ BSI di sini, dan Pusat Pemeriksaan Woodlands, Singapura.
Hampir kesemua mereka masuk ke Singapura dengan berjalan kaki manakala yang lain menggunakan perkhidmatan bas.
Kebanyakan pekerja Malaysia turut dilihat memuat naik komen mahu supaya lebih banyak QR Code diletakkan di sekitar CIQ BSI supaya barisan tidak terlalu panjang selain mahu lebih banyak kaunter Imigresen dibuka bagi mempercepatkan urusan pemeriksaan.
Pekerja Malaysia di Singapura, Yan Sofian Mustafa, 36, yang bekerja sebagai juruteknik di republik itu antara ribuan yang beratur menaiki bas ke republik itu bagi memulakan tugas.
Yan Sofian berkata, beliau terpaksa menggunakan perkhidmatan bas berikutan permohonan permit kemasukan kenderaan bermotor asing (VEP) masih belum diluluskan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura.
“Saya sudah menghantar permohonan namun berlaku kesilapan teknikal sehingga menyebabkan kelulusan VEP belum diluluskan LTA Singapura.
“Buat masa ini saya akan berulang-alik pada setiap hujung minggu sehinggalah VEP saya diluluskan.
Apabila diluluskan bolehlah saya kembali berulang alik menaiki motosikal setiap hari.
“Ribuan pekerja Malaysia yang beratur di CIQ BSI pun adalah sebahagiannya VEP kenderaan mereka masuk ke Singapura masih belum diluluskan. Sebab itulah suasana di CIQ BSI sesak luar biasa sejak jam 8 malam tadi manakala laluan motosikal langsung tidak sesak setakat ini,” katanya yang dihubungi ketika sedang bersiap untuk memulakan tugas.
Pada 1 April lalu, media melaporkan ribuan rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di Singapura sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 lalu, akhirnya kembali ke tanah air bermula detik 12.01 tengah malam tarikh berkenaan.
Tinjauan di Tambak Johor awal pagi 1 April mendapati, lebih separuh daripada rakyat Malaysia yang pulang melintas tambak sejauh 2.5 kilometer berkenaan dengan berjalan kaki beramai-ramai selain ada yang menaiki basikal.
Deretan motosikal dan kereta turut dilihat beratur dengan sabar di laluan masing-masing di Tambak Johor menunggu giliran untuk kembali ke tanah air.
Dalam pada itu, seorang lagi pekerja Malaysia di Singapura, Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh, 34, berkata kebanyakan pekerja Malaysia dijangka akan mula berulang-alik menaiki motosikal menjelang akhir bulan ini.
Katanya, beliau antara yang bernasib baik apabila permohonan VEP sudah diluluskan sejak seminggu lalu, membolehkannya berulang-alik menaiki motosikal untuk bekerja.
“Kesesakan luar biasa di CIQ sejak malam tadi kerana masih ramai pekerja Malaysia yang belum diluluskan permohonan VEP mereka. Namun apabila permohonan kebanyakan mereka sudah diluluskan, kesesakan akan beralih ke laluan motosikal semula.
“Kebanyakan yang pulang sejak petang dan malam tadi juga masih mempunyai kontrak sewa bilik di Singapura menyebabkan ramai yang bertolak seawal petang bagi mengelakkan menempuh kesesakan luar biasa pagi ini pula.
“Kebanyakan rakyat Malaysia juga lebih gemar berjalan kaki dari CIQ JB ke Singapura kerana lebih mudah dan cepat berbanding menaiki bas yang memerlukan masa lebih lama sedikit bagi pemeriksaan di laluan Imigresen,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pihak Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengambil tindakan segera untuk mengurangkan kesesakan di CIQ BSI sejak malam tadi.
“Saya juga telah turun padang untuk melihat keadaannya sendiri.
“Saya mohon maaf di atas segala kesulitan dan kekhilafan yang berlaku. Kita akan perbaiki lagi sistem sedia ada supaya perkara ini dapat dielakkan pada masa akan datang,” katanya menerusi akaun Facebooknya tengah malam tadi.