Wanita maut selepas makan gula-gula ganja

London: Seorang wanita berusia 23 tahun maut selepas memakan gula-gula mengandungi ganja sintetik yang dihantar ke rumahnya.

BBC News melaporkan, wanita itu rakannya yang berusia 21 tahun memesan gula-gula itu menerusi aplikasi mesej dalam talian, baru-baru ini.

Kedua-duanya makan sebiji gula dan serta-merta berasa tidak sihat sebelum mereka dibawa ke hospital dekat timur bandar ini.



Salah seorang daripada mereka meninggal dunia pada Sabtu minggu lalu, manakala rakannya dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan.

Susulan kejadian, Leon Brown, 37, dari South Norwood didakwa dengan pelbagai dakwaan termasuk memiliki dengan niat untuk membekalkan kanabinoid sintetik Kelas B dan memiliki untuk membekalkan bahan psikoaktif.

Polis berkata, suspek ditemui dengan sejumlah besar wang tunai dan produk ganja yang boleh dimakan.

Dia dihadapkan di Mahkamah Majistret Barkingside pada Isnin lalu.



Bedah siasat terhadap mangsa akan diatur dalam masa terdekat dan ujian sudah dijalankan ke atas beberapa gula-gula yang ditemukan.

Pegawai polis berusaha untuk mengenal pasti sebarang kes lain yang menyebabkan orang ramai menjadi tidak sihat selepas makan gula-gula kanabis sintetik, gula-gula getah atau produk serupa.

Hasilnya, ada satu kes yang berpotensi dikaitkan, apabila seorang wanita tidak sihat pada awal Mac selepas makan manisan kanabis di Tower Hamlets.

Dia dibawa ke hospital dan dibenarkan keluar.



Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan sama ada gula-gula itu adalah sebahagian daripada kumpulan manisan yang dikaitkan dengan kematian wanita itu.

Sementara itu, seorang pegawai polis, Stuart Bell memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mengambil produk haram, termasuk yang dibungkus dalam bentuk gula-gula kanabis.

“Tolong jangan beli atau ambil produk ini. Ia menyalahi undang-undang, malah pembungkusan mesra kanak-kanak, boleh menimbulkan risiko penggunaan tidak sengaja,” katanya.

Masih belum disahkan di mana gula-gula ganja itu dihasilkan.



“Pengedar dadah membahayakan masyarakat dan mempertaruhkan keselamatan individu. Kami akan mengambil tindakan dengan menyasarkan individu terbabit dalam aktiviti ini serta mereka yang didapati memiliki bahan ini,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button