Bahana dadah stimulan undang risiko psikosis, bunuh ahli keluarga

KUALA LUMPUR: Berhalusinasi sehingga tergamak membunuh ahli keluarga dan kenalan rapat kerana disangkakan hantu, musuh atau individu yang ingin mencederakan mereka.
Keadaan yang dialami oleh kebanyakan penagih dadah ini sebenarnya adalah gangguan mental akibat pengambilan dadah jenis stimulan atau perangsang secara berpanjangan.
Mendedahkan perkara ini, Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS), Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid berkata, dadah jenis stimulan paling kerap dikaitkan dengan gejala psikosis atau gangguan mental yang teruk sehingga membuatkan penagih dadah bertindak di luar pemikiran rasional.
Antara jenis dadah berkenaan termasuklah methamphetamine, amphetamine, ketamine, ekstasi dan beberapa jenis dadah yang lain.
“Pengambilan dadah jenis stimulan boleh menyebabkan peningkatan hormon ‘dopamine’ iaitu sejenis ‘neurotransmitter’ pada otak yang berperanan mengawal keseimbangan emosi dan fungsi kognitif.
“Dopamine dirembeskan di bahagian otak namun pengambilan dadah tertentu boleh merangsang, merencatkan rembesan dan mengganggu fungsi neurotransmitter.
“Ketidakseimbangan neurotransmitter boleh menyebabkan gangguan mental seperti kemurungan, mania, perubahan tingkah laku dan keganasan, sekali gus membawa kepada gejala psikosis,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

SEPERTI PESAKIT MENTAL

Mengulas lanjut, Dr Rusdi yang juga pakar psikiatri di Pusat Pakar Perubatan Universiti Malaya (UMSC) berkata, psikosis boleh berlaku melalui berhalusinasi seperti mendengar suara halus, melihat imej atau bayangan yang orang lain tidak nampak, berasa sesuatu merayap di dalam kulit atau badan dan menghidu bau sesuatu yang hanya mereka mengalaminya.
Selain itu, penagih dadah juga boleh mengalami delusi, seperti rasa takut tanpa sebarang sebab munasabah, paranoia dan kepercayaan pelik tanpa sebarang asas kukuh.
“Lazimnya, dadah jenis stimulan paling kerap dikaitkan dengan gejala psikosis. Mereka yang mengambil dadah jenis ini biasanya menjadi lebih bertenaga, banyak bercakap, terlebih aktif dan boleh berjaga malam selama berhari-hari.
“Keadaan ini seterusnya disusuli dengan gejala psikosis yang menyebabkan mereka menjadi tidak rasional sama seperti pesakit mental.
“Apabila putus ‘bekalan’ (dadah) mereka akan berasa sangat letih, tidur sepanjang hari, rasa sangat lapar dan menjadi murung. Mereka juga menjadi ‘moody’ dan cepat marah sehingga boleh berkelakuan agresif termasuk mencederakan orang sekeliling,” jelasnya.
Dr Rusdi menambah, berdasarkan kajian luar negara yang pernah dibuat sebelum ini, seramai 36.5 peratus penagih dadah jenis methamphetamine akan mengalami gangguan psikotik.
Keadaan menjadi tidak terkawal apabila dadah diambil secara berterusan untuk jangka masa panjang sehingga membawa kepada ketagihan yang teruk.
“Gejala psikosis mengakibatkan penagih dadah menjadi tidak rasional apabila halusinasi dan delusi mempengaruhi tindak tanduk mereka. Pada tahap ini, mereka tidak dapat membezakan antara realiti, fantasi dan mimpi, sekali gus boleh menyebabkan mereka bertindak di luar kawalan,” katanya.

GEJALA SKIZOFRENIA

Psikosis akibat dadah jenis stimulan juga boleh menyerupai gejala penyakit skizofrenia cuma ia bersifat sementara dan akan hilang apabila penagih berhenti mengambil dadah sepenuhnya (gejala psikosis hilang apabila kesan dadah hilang).
Lazimnya, apabila kesan dadah stimulan itu hilang, barulah mereka sedar betapa teruk dan tidak masuk akal perbuatan yang mereka lakukan.
Pengambilan dadah jenis stimulan dalam kalangan pesakit mental seperti skizofrenia dan kemurungan boleh menyebabkan masalah mental menjadi lebih teruk, sukar dirawat dan pesakit perlu dimasukkan ke wad.
Menurut Dr Rusdi, pesakit berkenaan memerlukan rawatan ‘dual-diagnosis’ untuk kedua-dua penyakit mental (psikosis dan skizofrenia).
“Ini perlu dijalankan secara serentak (simultaneously) bagi mencegah ‘relapse’ (berulang). Biasanya rawatan sebegini hanya terdapat di fasiliti kesihatan seperti klinik dan hospital tertentu sama ada kerajaan mahu pun swasta, ” katanya.
Beliau turut berkongsi kajian yang dibuat bersama rakan-rakannya pada tahun 2004 di Hospital Bahagia Ulu Kinta Perak, bertajuk Schizophrenia, Substance Use and Aggressions: What Are The Relationships?.
Kajian berkenaan bertujuan menentukan prevalens penyalahgunaan bahan-bahan seperti alkohol, kanabis, opiat, dadah jenis stimulan atau perangsang serta beberapa bahan lain dalam kalangan pesakit skizofrenia.
Keputusan kajian mendapati prevalens penyalahgunaan bahan-bahan tersebut dalam kalangan pesakit skizofrenia secara umum (termasuk alkohol) adalah 24.7 peratus dengan dadah jenis stimulan atau perangsang jenis amphetamine ialah 5.7 peratus.
“Hasil kajian turut mendapati prevalens penyalahgunaan bahan-bahan itu lebih tinggi pada pesakit skizofrenia berbanding populasi umum selain pesakit lelaki yang mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah mempunyai kencenderungan untuk menjadi lebih agresif dan mungkin memerlukan penjagaan khas dan bantuan pakar,” katanya.

PERANAN AHLI KELUARGA, MASYARAKAT

Selain tanggungjawab kendiri, ahli keluarga juga berperanan untuk mengenal pasti dan membawa individu terlibat dengan penagihan dadah mendapatkan rawatan awal yang amat penting bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Keluarga boleh memujuk individu terbabit atau mendapatkan bantuan jiran dan ketua komuniti untuk membawa penagih ke hospital.
“Jangan sampai berlaku kejadian yang menyedihkan baru nak bertindak. Sebenarnya rawatan yang berkesan sudah ada, cuma perlu ada individu yang prihatin dan ambil tahu tidak kira ahli keluarga, jiran atau masyarakat secara keseluruhannya.
“Isu dadah sekarang ini adalah sejenis penyakit dan ia boleh diubati menggunakan rawatan ubat-ubatan dan kaunseling. Kalau dulu hanya pusat serenti (pemulihan) yang ada, sekarang kita ada banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) dan pusat rehabilitasi swasta,” katanya.

BERGANTUNG PADA UBAT

Sementara itu, Presiden Pengasih Ramli Abd Samad berkata, kira-kira 60 hingga 70 peratus penagih dadah perlu mendapatkan rawatan pakar psikiatrik atau bergantung pada pelbagai jenis ubat-ubatan.
Ia adalah akibat daripada ketagihan dadah jenis stimulan iaitu methamphetamine atau bahasa jalanannya turut dikenali sebagai ‘meth’, ‘ice’, ‘batu’ atau syabu.
Beliau berkata, kebanyakan klien Rumah Pengasih mengalami kecelaruan mental atau psikosis dan memerlukan rawatan lanjut.
Wujud beberapa peringkat gangguan mental iaitu terdapat penagih dadah jenis syabu yang hanya mengalami psikosis tahap sederhana dan mereka ini perlu mengambil ubat secara berpanjangan.
“Saya boleh katakan 60 hingga 70 peratus penagih dadah perlu bergantung pada ubat-ubatan bagi yang mengalami masalah gangguan mental sederhana.
“Bagi klien kami yang sudah diperiksa oleh doktor pakar dan disahkan mengalami gangguan mental kritikal, mereka perlu menjalani rawatan di hospital terlebih dahulu.
“Ini penting kerana mereka yang mengalami psikosis kritikal ini boleh bertindak agresif sehingga mencederakan orang atau membunuh kerana mengalami gangguan mental,” katanya.
Menurut beliau, sejak kebelakangan ini terdapat beberapa kes membabitkan penagih dadah yang mengalami kesan psikosis yang kritikal iaitu mereka bukan saja mencederakan orang sekeliling malah turut membunuh ahli keluarga sendiri.
“Saya mengharapkan masyarakat lebih peka dengan keadaan sekeliling termasuk ahli keluarga mereka sendiri dan tidak malu untuk mendapatkan rawatan awal untuk penagih dadah. Penagih dadah berulang yang mengalami psikosis kritikal adalah sangat bahaya jika tidak dirujuk dan dirawat oleh pakar perubatan bertauliah.
“Kami di Pengasih juga amat berterima kasih kepada pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang memberikan perkhidmatan rawatan untuk diagnosis penagih dadah ini,” katanya.

BUNUH KERANA DADAH

Pada 16 Februari 2022, Bernama melaporkan seorang wanita berusia 54 tahun ditemui maut di rumahnya di Kampung Batu Machang dekat Jerek, Gua Musang, Kelantan. Leher wanita malang itu ditetak sehingga putus oleh anak tirinya.
Suspek berusia 39 tahun itu pergi ke Balai Polis Bertam pada pukul 4.45 petang hari yang sama dan memaklumkan dia membunuh ibu tirinya dengan menggunakan parang.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 4 petang dan siasatan awal mendapati suspek merupakan seorang penagih dadah dan mengalami masalah mental.
Sebelum itu, pada 24 Jan 2022, seorang lelaki yang dipercayai memenggal kepala ibunya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Selangor atas pertuduhan membunuh wanita itu, pada pertengahan bulan yang sama.
Lelaki berkenaan yang juga seorang penganggur berusia 29 tahun didakwa membunuh ibunya di sebuah rumah di Pasir Penambang, Kuala Selangor, antara pukul 8.10 pagi hingga pukul 6.08 petang pada 15 Jan 2022 , mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Laporan awal ujian air kencing suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Antara lain, pada 5 Mei 2021, Bernama turut melaporkan seorang penganggur berusia 39 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Maran atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya.
Menurut laporan media, mangsa ditemukan maut dipercayai akibat ditetak menggunakan parang oleh tertuduh yang baru selesai menjalani hukuman penjara pada Mac 2021.
Pemeriksaan luaran fizikal mangsa juga mendapati terdapat luka disyaki akibat tetakan objek tajam pada bahagian dahi, mulut, perut dan tangan kanan.
Di mahkamah sama, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan dadah methaphetamine di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Maran sekitar 9 pagi
pada 29 April 2021.
 BERNAMA 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button