Ibu kandung Sufia Az-Zahra dicari

Kuala Krai: Seorang guru meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ibu kandung anak angkatnya bagi menyelesaikan masalah dokumentasi.

Suziraazmawati Nor, 43, berkata, anak angkatnya, Sufia Az-Zahra Ghazali, 9, diambil daripada ibu kandungnya warga Vietnam yang dikenali, Nguyen Thi Thu Hien, ketika berusia tiga hari.

Katanya, sepanjang Nguyen Thi Thu Hien mengandungkan Sufia Az-Zahra, dia yang menjaga serta menguruskan wanita itu sehingga melahirkan anak, namun ketika berusia tiga hari, Sufia Az – Zahra diserahkan kepadanya.

“Ketika kami bertemu, ibu kandung kanak-kanak ini mendakwa tidak mampu membesarkan anak dan dia berharap saya menjaga anaknya sehingga dewasa seperti anak sendiri.

“Bagaimanapun, akibat tiada sebarang dokumen berkaitan ibu kandung yang disertakan ketika penyerahan dilakukan, saya berhadapan kesukaran untuk membuat pendaftaran kelahiran sehingga menyebabkan kanak-kanak ini dikategorikan sebagai bukan warganegara.

“Justeru itu, saya perlukan surat pengesahan mengenai akuan penyerahan anak angkat ini bagi mendapatkan dokumen diri yang sah untuk masa depan anak saya termasuk urusan persekolahan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Suziraazmawati berkata, lebih menyukarkan lagi, anaknya itu tidak dapat ke bersekolah seperti kanak-kanak lain yang seusia dengannya susulan tidak memiliki dokumen yang sepatutnya.

“Sepanjang tempoh dua tahun itu, saya terpaksa mengajar Sufia Az-Zahra di rumah selain menghantarnya ke kelas tuisyen di luar bagi memastikan dia tidak tercicir dalam pelajaran,” katanya.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa dengan ibu kandung anaknya itu adalah lima tahun lalu dan berharap kepada sesiapa yang mempunyai maklumat supaya menghubunginya di talian 014-811 1242 dengan segera.

“Tujuannya untuk selesaikan dokumen penyerahan anak angkat ini demi masa depannya untuk didaftarkan secara rasmi sebagai anak angkat saya,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker