Pesara TUDM meninggal ketika solat Isyak

KUALA SELANGOR: Seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Yusri Taib, 51, meninggal dunia ketika menunaikan solat Isyak berjemaah di Masjid An-Nur, Saujana Utama, dekat sini, malam tadi.

Beliau yang berasal dari Melaka sebelum itu rebah dalam rakaat pertama solat Isyak sebelum disahkan meninggal dunia oleh kumpulan paramedik dari Hospital Sungai Buloh.

Abang Allahyarham, Mat Isa Taib, 56, berkata adiknya bersara daripada TUDM kira-kira sembilan tahun lalu dan menjalankan perniagaan menjahit kusyen dan bantal yang diusahakan bersama isterinya.

Katanya, Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat anak berusia antara 16 hingga 23 tahun.

“Anak sulungnya baru sahaja bekerja selepas menamatkan pengajian,” katanya di sini, hari ini.

Timbalan Nazir Masjid An-Nur, Azman Omar, pula berkata jenazah Allahyarham dimandikan di Masjid An-Nur pagi ini dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Cerakah kira-kira jam 11 pagi.

Pemergian jemaah yang sungguh dicemburui iaitu ketika solat Isyak pada Ramadan itu turut mendapat perhatian pendakwah, Pahrol Mohamad Juoi yang turut berjemaah di masjid berkenaan ketika kejadian.

Dalam tulisannya di Facebook, beliau berkata, ketika imam membaca surah pertama solat Isyak malam tadi, tiba-tiba kedengaran seorang di belakangnya rebah dengan bunyi suara yang agak kuat ‘Allah’.

Usai solat, beberapa orang menerpa untuk memberi pertolongan cemas selain jemaah lain memberi ruang bagi proses pengudaraan yang baik serta mendoakan kebaikan untuk beliau.

“Beliau tidak sedarkan diri. Usai solat Tarawih diikuti solat witir, dimaklumkan yang jemaah berkenaan telah meninggal dunia.

“Saya terpegun. Sayu. Sedih. Begitu cepat dan tiba-tiba Izrail menjemputnya pulang. Dan alangkah indah kematiannya…di rumah Allah pada malam Ramadan yang berkah, sedang solat serta sempat mengucapkan nama Allah…Cemburu,” tulisnya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker