Polis sita harta RM4.3 juta. milik dua penjenayah

Kuala Terengganu: Polis Terengganu menyita aset dipercayai daripada sumber kegiatan haram iaitu tanah dan chalet milik dua penjenayah yang mati ditembak dalam kejadian Selasa lalu, yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM4.3 juta.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, sitaan terhadap semua harta berkenaan dibuat pegawai turus perlucuthakkan harta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu di bawah Seksyen 28(1) Akta Dadah Berbahaya 1988.

Beliau berkata, pada permulaan kes, tiada sitaan dibuat, namun siasatan lanjut melalui penjejakan harta (Asset Tracing) melalui bank dan institusi kewangan, JSJN berjaya menemui pemilikan tujuh harta tak alih yang diperolehi secara pembelian yang meragukan di beberapa daerah di negeri ini.

“Harta yang disita adalah satu lot tanah berkeluasan 159 meter persegi dengan nilai anggaran RM160,000 di Kemaman; satu lot tanah di Dungun seluas 3.2970 hektar, nilai anggaran RM750,000: satu lot tanah di Batu Rakit, Kuala Nerus, seluas 15,460 meter persegi dengan nilai anggaran sebanyak RM1,100,000.

“Satu lot tanah di Batu Rakit, Kuala Nerus, seluas 7,107 meter persegi. Anggaran nilai RM700,000. Satu lot tanah di Kuala Nerus yang berkeluasan 532 meter persegi anggaran nilai RM580,000.

“Satu lot tanah bernilai RM100,000 dengan keluasan 544 meter persegi di Marang, manakala di Batu Rakit, Kuala Nerus, JSJN menyita 10 chalet yang dibina di atas tanah seluas 9,105 meter persegi dengan nilai harga dianggarkan sebanyak RM900,000,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Rohaimi berkata, nilai sitaan harta itu adalah yang terbesar dibuat polis negeri ini yang membabitkan aktiviti pengedaran dadah di Terengganu.

METRO

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker