Erik Ten Hag ke United

London- Manchester United dilaporkan sudah mencapai persetujuan secara lisan untuk melantik pengendali Ajax, Erik ten Hag sebagai pengurus kekal menggantikan ketua jurulatih sementara Ralf Rangnick.

Jurulatih dari Belanda itu dijangka menyertai Red Devils dengan kontrak empat tahun apabila meninggalkan Ajax pada musim panas, menurut The Athletic. Dia akan menjalankan tugas sebagai pengurus sebaik Ralf Rangnick meletak jawatan dan menjadi penasihat penghujung musim ini.

Ten Hag yang berusia 52 tahun ditemu ramah oleh United dua minggu lalu dan menarik minat pengurusan United. Difahamkan dia menetapkan beberapa syarat sebelum menolak hasrat Ajax dan bersetuju dengan kontrak United yang dijangka sehingga 2026.

The Athletic turut melaporkan Ajax masih lagi dalam proses memuktamadkan keputusan dengan United.

Bagaimanapun, tiada persetujuan bertulis atau sebarang pengumuman sehingga tamat final Piala Belanda antara Ajax dan PSV Eindhoven pada 17 April bagi menghormati kelabnya sekarang.

Ten Hag akan mewarisi skuad yang menduduki tangga kelima saingan Liga Perdana tanpa sebarang trofi dan tampak bakal dirombak besar-besaran. Dipercayai antara syaratnya kepada United ialah memberikan dia bajet untuk membawa masuk pemain baharu.

METRO

Leave a Reply