Hakim tinjau tempat Bella didera di Rumah Bonda

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Sesyen bersama pihak yang terbabit dalam prosiding penganiayaan dan pengabaian terhadap seorang remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella, melawat sebuah unit kondominium dekat Wangsa Maju di sini, yang juga tempat kejadian.

Kenderaan membawa Hakim, Izralizam Sanusi serta tiga kenderaan lain tiba di kondominium berkenaan pada jam 10.51 pagi tadi dengan diiringi sebuah kereta peronda polis (MPV).

Lawatan itu dibuat susulan keputusan Izralizam membenarkan permohonan pembelaan pada prosiding kes itu pada Isnin lalu yang dihadiri peguam bela, M Yallini yang mewakili tertuduh, Siti Bainun Ahd Razali, dan Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik.

Dalam keputusan itu, Izralizam berkata, mahkamah perlu mendapatkan gambaran lebih jelas berdasarkan gambar-gambar tempat kejadian yang dikemukakan kepada mahkamah sebelum ini ketika perbicaraan.



Antara lokasi kejadian yang dijangka diperiksa lebih dekat oleh Izralizam, adalah bilik dobi unit kondominium terbabit, berdasarkan keterangan saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, 19, yang juga bekas penghuni Rumah Bonda.

Lawatan hari ini turut disertai empat Timbalan Pendakwa Raya iaitu Fazeedah, Zahida Zakaria, Zilfinaz Abbas dan Nur Aliana Skakira.

Dalam pada itu, dua peguam bela mewakili Siti Bainun iaitu Nur A’minahtul Mardiah Md Nor dan Asiah Jalil, turut hadir ke lokasi dan tiba secara berasingan, kira-kira jam 10 pagi.

Bagaimanapun, pihak media yang berada di lokasi sejak jam 9 pagi untuk membuat liputan tidak dibenarkan masuk untuk turut serta dalam lawatan itu dengan pintu masuk utama ke kawasan kondominium dikawal ketat sepasukan anggota polis.



Selepas sejam, konvoi kenderaan membawa Izralizam serta barisan empat TPR kemudian dilihat meninggalkan kawasan kondominium berkenaan kira-kira jam 11.50 pagi.

Sementara itu, Siti Bainun turut dilihat menaiki kenderaan dipandu Nur A’minahtul Mardiah, meninggalkan kondominium terbabit dan menuju ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta untuk prosiding kes perbicaraan.

Ketika prosiding Isnin lalu, Izralizam berpendapat, mahkamah perlu melihat lebih jelas gambaran atau pandangan bilik (dobi) supaya lebih memahami insiden yang diceritakan dalam keterangan saksi selepas meneliti ekshibit gambar lokasi kejadian.

“Saya teliti gambar itu tidak dapat memberikan gambaran yang jelas terutamanya di tingkap kerana tidak tahu mana satu tingkap yang boleh dibuka dan boleh masukkan tangan.

“Jadi seperti mana yang peguam hujahkan, adalah wajar untuk saya pergi ke tempat kejadian sendiri dan melihat,” katanya.

Izralizam hanya membenarkan pihak pendakwaan, peguam, saksi, kakitangan mahkamah iaitu jurubahasa serta tertuduh, Siti Bainun turut serta dalam lawatan hari ini.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker