Pengadil hentikan permainan untuk berbuka puasa

Berlin: Pengadil Bundesliga, Matthias Jollenbeck menghentikan permainan pada minit ke-65 ketika aksi Mainz menentang Augsburg bagi membolehkan pemain beragama Islam berbuka puasa.

Pertahanan Mainz, Moussa Niakhate mengambil peluang itu untuk berbuka puasa dan ia adalah kali pertama dalam sejarah perlawanan dihentikan bagi tujuan itu.

Selepas meminum air, pemain 26 tahun itu berjabat tangan dengan Jollenbeck sebagai tanda terima kasih.

Pengarah Komunikasi Jawatankuasa Pengadil Jerman, Lutz Michael Frohlich, menyokong tindakan pengadil memberhentikan permainan bagi membolehkan pemain berbuka puasa.

“Tidak ada arahan khas dalam hal ini, tetapi sudah tentu kami menyokong pengadil kami untuk membenarkan rehat ketika Ramadan atas permintaan pemain,” kata Frohlich.

Dalam satu lagi perlawanan membabitkan RB Leipzig dan Hoffenheim, Ahad lalu, pengadil, Bastian Dankert memberikan Mohamed Siamakan rehat beberapa minit bagi berbuka puasa.

Ketika aksi Liga Perdana Inggeris antara Leicester dan Crystal Palace di Stadium King Power, musim lalu, permainan dihentikan seketika bagi membolehkan pertahanan The Foxes Wesley Fofana dan pemain tengah Eagles, Cheikhou Kouyate berbuka puasa.

METRO

Leave a Reply