Rakyat Malaysia dikurung kebuluran dan didera

Sepang: Tidak hanya dikurung dan dibiarkan kebuluran malah rakyat Malaysia yang ditahan sindiket scammer turut didera menggunakan kaedah renjatan elektrik.

Itu azab seksa dilalui 16 rakyat Malaysia yang dipaksa bekerja sebagai operator panggilan penipuan di Kemboja oleh ahli sindiket yang menggunakan senjata api.

Bagaimanapun 12 rakyat Malaysia yang diperdaya dengan iklan peluang pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan bergaji lumayan di Kemboja itu berjaya dibawa pulang ke tanah air semalam.

Kejayaan membawa pulang 12 mangsa lelaki melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini kira-kira jam 8.10 pagi semalam adalah hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), polis Kemboja, Polis ASEAN (Aseanapol) dan Wisma Putra.

Peguam mewakili kesemua mangsa, Heng Zhi Li berkata, pihaknya membuat siasatan selama tiga bulan sejak Januari lalu selepas menerima aduan salah seorang kakak mangsa memaklumkan adiknya dikurung sindiket di luar negara.

Menurutnya, pihaknya bekerjasama dengan semua ahli keluarga mangsa bagi mendapatkan butiran lengkap serta mendapatkan bantuan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) bagi mengesan koordinat bangunan berserta gambar bangunan didiami mangsa.

Katanya, semua butiran lengkap itu diserahkan kepada MAPO dua minggu lalu dan hasilnya mereka berjaya dikesan dan diselamatkan pihak berkuasa Kemboja pada 4 April lalu.

“Mangsa memaklumkan mereka takut untuk melarikan diri kerana ada dikalangan mereka dipukul, ditampar dan didera dengan renjatan elektrik,” katanya.

Beliau yang berlepas ke Kemboja Sabtu lalu turut mengiringi kepulangan rakyat Malaysia yang terkandas bersama Ahli Jawatankuasa Pemuda MCA Pusat, Tan Jie Sen.

Zhi Li berkata, kumpulan ini berlepas ke Kemboja sejak September tahun lalu secara berperingkat dan dibiayai sindiket dipercayai dari China dengan menyediakan tiket penerbangan.

Menurutnya, mereka juga dijanjikan gaji lumayan sebanyak RM7,000 namun tidak pernah menerima gaji.

“Mereka sebaliknya hanya diberikan kad tunai untuk membeli makanan dan barangan di bangunan berkenaan dengan dikawal anggota sindiket.

“Semua mangsa mendapat permit kerja dari Kerajaan Kemboja yang dipalsukan sindiket berkenaan. Salah seorang keluarga mangsa sebelum ini sudah membayar wang tebusan sebanyak RM18,000 bagi membebaskan mangsa,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker