Tak patut tergesa-gesa panggil pulang diplomat – Anifah

PUTRAJAYA, 18 Nov — Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman semasa taklimat media pasca Sidang Kemuncak ASEAN Ke-31 di Wisma Putra semalam.
–fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

KOTA KINABALU: Kementerian Luar tidak sepatutnya mengambil tindakan tergesa-gesa dengan memanggil pulang Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai dalam isu kegagalan menguruskan lawatan Perdana Menteri, baru-baru ini.

Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, ketika menegaskan pendapatnya itu dalam satu kenyataan, menyifatkan tindakan sedemikian ke atas diplomat kanan negara akan menimbulkan imej tidak baik terhadap Menteri Luar dan Malaysia secara keseluruhannya.

Sebaliknya, beliau berkata, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah sepatutnya mengambil tanggungjawab penuh dan boleh menangani situasi membabitkan dua pegawai terbabit dengan lebih baik.

“Jika saya secara peribadi, akan menangani situasi itu dengan cara yang lain dan menggesa supaya siasatan dalaman dilakukan terlebih dahulu,” katanya.



Media sebelum ini melaporkan Kementerian Luar memanggil pulang Duta Besar Malaysia ke UAE dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai disebabkan kegagalan dua pegawai terbabit menguruskan lawatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Dubai pada 29 hingga 31 Mac lalu.

Meskipun Wisma Putra menjelaskan bahawa tindakan itu bukan sesuatu yang luar biasa, Anifah berkata, pegawai berkenaan tidak seharusnya dipanggil pulang secara tergesa-gesa.

“Saya ada keraguan sendiri mengenai diplomat kanan dan berpengalaman seperti itu mengabaikan perkara penting, khususnya apabila ia membabitkan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata, lazimnya sebelum lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara, persediaan teliti membabitkan Menteri Luar perlu dilakukan terlebih dahulu.



Anifah memaklumkan ketika beliau menjadi Menteri Luar, sebelum sesuatu lawatan rasmi, Menteri Luar akan mendahului Perdana Menteri dan berada di lokasi lebih awal bagi memastikan persediaan sewajarnya dilakukan.

“Sebagai Menteri Luar (ketika itu), saya akan mengambil tanggungjawab penuh terhadap sebarang kekurangan yang berlaku ketika lawatan Perdana Menteri,” katanya.

Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu berkata, tindakan tergesa-gesa memanggil pulang diplomat memberi kesan buruk kepada negara kerana ia dianggap sebagai tidak berkebolehan menganjurkan sesuatu yang menjadi kebiasaan seperti lawatan ketua kerajaan.

Beliau berkata, semua pegawai di Wisma Putra adalah berpengalaman, dan mereka yang dipilih sebagai Ketua Misi selalunya merupakan diplomat tertinggi serta memiliki pengalaman bertahun-tahun.



“Insiden seperti ini jarang berlaku dan jika berlaku sekalipun, ia dapat dihalang jika Menteri Luar berada di UAE terlebih dahulu untuk secara peribadi meninjau persiapan lawatan Perdana Menteri.

“Ia adalah sebahagian daripada tugas seorang Menteri Luar dan jika beliau gagal berada di sana, beliau tidak sepatutnya setuju atau mengarahkan dua diplomat itu dipanggil pulang,” katanya.

Selain itu, Anifah berkata, sudah menjadi amalan biasa sesuatu mesyuarat dalaman diadakan di Wisma Putra setiap kali ada program di luar negara, khususnya yang membabitkan Perdana Menteri.

Beliau berkata, ia kemudian disusuli taklimat bersama Pejabat Perdana Menteri mengenai aturan logistik, diikuti ketibaan Menteri Luar bersama pasukan lebih awal dan mesyuarat akhir mengenai acara di negara yang dilawati sebelum ketibaan Perdana Menteri.



“Ini dapat memastikan kesilapan seperti yang berlaku di UAE itu tidak terjadi,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button