Ujian hidup Siti Nor Shafika

Kota Bharu: Wanita muda ini tidak sempat berkongsi berita kehamilan dengan suaminya apabila insan tercinta itu ditimpa kecelakaan ketika bekerja yang menyebabkannya separa koma dan lumpuh.

Kini, bayi dikandung Siti Nor Shafika Salmizi, 21, sudah selamat dilahirkan dan berusia 47 hari, tetapi keadaan Mohamad Rosdi Shafei, 27 masih sama, bahkan mereka terlepas peluang merai kegembiraan menyambut zuriat pertama.

Mohamad Rosdi jatuh bangunan berketinggian 12 meter pada Jun tahun lalu, ketika menjalankan kerja membaiki bumbung sebuah kilang di Pengkalan Chepa di sini.



Menurut Siti Nor Shafika, suaminya dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana parah pada anggota badan dan bahagian otak.

“Ketika menguruskannya, saya tidak sedar saya sudah hamil sebulan, memandangkan sebelum ini dua kali saya gugur, jadi saya tidak begitu ambil berat.

“Apabila usia kandungan cecah tiga bulan, kegembiraan itu sukar untuk saya nikmati seperti pasangan lain kerana suami terlantar lumpuh dan separa sedar.

“Begitupun saya tetap mengurus suami tanpa lelah hingga hari nak beranak, tugas itu saya serahkan kepada mentua kerana saya pula berpantang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lubuk Pukol di sini, hari ini.



Siti Nor Shafika berkata, tanggungjawab menjaga suaminya diambil alih selepas dia selesai berpantang dan dia juga sentiasa meletakkan anak dinamakan Mohammad Raihan di sisi Mohamad Rosdi dengan harapan lelaki itu memberi reaksi.

“Adakalanya dia kedipkan mata seolah beri reaksi positif,” katanya yang memberitahu keluarganya hilang punca pendapatan utama selepas suaminya hilang upaya kekal.

Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi dan rombongan Skuad Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan diketuai Pengarahnya, Nora Yaacob.

Nora berkata, pihaknya menyerahkan bayaran pertama Faedah Hilang Upaya Kekal kepada waris mangsa berjumlah RM56,176.10 dan jumlah seterusnya akan dibayar secara bulanan sebanyak RM1,194.50.



Katanya, Mohamad Rosdi yang bekerja sebagai pembantu am di syarikat kontraktor turut layak menerima Elauan Layanan Sentiasa yang akan dibayar kepada penjaga.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button